Aktivis politik berkata, objektif persempadanan semula bertujuan memastikan BN mendapat majoriti 2/3.
Beliau yang enggan dinamakan memberitahu FMT, cadangan SPR menyusun semula sempadan pilihan raya dibuat khas untuk melemahkan PKR, mengukuhkan penguasaan DAP di kerusi mereka dan membantu Barisan Nasional mencapai majoriti 2/3 di Parlimen.
Aktivis itu bekerja dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang cadangan persempadanan semula itu.
Beliau menyifatkan cadangan itu sebahagian “proses sistematik untuk menyingkirkan pemimpin PKR”.
“Persempadanan semula sudah lama menjadi inisiatif berdasarkan kaum.
“Cara mereka menghimpunkan pengundi adalah berdasarkan kaum. Sebab itu DAP mudah mengekalkan kerusi yang dimenangi mereka. Kerajaan sekarang mahu DAP menang di kerusi tersebut.”
Katanya, niat itu jelas kelihatan di kawasan pilihan raya Lembah Klang.
“Kerusi P106 Damansara sebagai contoh. Mereka menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan yang bermajoriti Cina dalam kerusi Parlimen itu, yang dahulunya di bawah kerusi Parlimen Subang. Ini bermakna kira-kira 60,000 hingga 70,000 pengundi ditambah kepada P106 untuk memanfaatkan DAP.”
Katanya, Sungai Buloh kini dimasukkan dalam kerusi Parlimen Subang, menjadikannya kerusi majoriti Melayu, bukannya kerusi campuran lagi.
“Langkah sebegini disasarkan untuk ‘membunuh’ ahli politik PKR dan melemahkan parti berbilang kaum.
“Satu lagi contoh baik adalah kerusi Lembah Pantai. Lebih 6,000 pengundi Bukit Aman dipindahkan ke kawasan tersebut.”
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang tidak bersetuju dengan pandangan ini berkata, persempadanan semula itu lebih menyasarkan kelebihan buat BN daripada memperkukuhkan DAP atau melemahkan PKR.
“Ia dilakukan untuk memastikan BN memperoleh majoriti 2/3,” katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju langkah itu akan memanfaatkan DAP di kawasan bermajoriti pengundi Cina.
SPR mencadangkan persempadanan semula dengan menamakan Petaling Jaya Utara (P106) sebagai Damansara dan Subang (P107) sebagai Sungai Buloh.
Kerajaan Selangor baru-baru ini gagal mendapatkan injunksi di Mahkamah Tinggi untuk menghalang SPR meneruskan inkuiri tempatannya, langkah penting ke arah persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Inkuiri tempatan itu bermula 28 Disember lalu.