PRU14: Tiga negeri jadi asas sasaran 40 kerusi Parlimen PAS


MARANG - Pas menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen dengan menawan negeri yang majoritinya orang Islam pada pilihan raya umum tidak lama lagi.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata, parti itu mensasarkan Terengganu, Kelantan dan Kedah sebagai asas kepada sasaran bagi memperoleh 40 kerusi berkenaan.
"Di Terengganu kita hendak kerusi kita lebih banyak kerana Terengganu tempat majoriti orang Islam, macam Kelantan, macam Kedah.
"Kerusi Terengganu, kerusi Kelantan, kerusi Kedah kena banyak jadi asas kepada 40 kerusi ditambah oleh negeri negeri lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dana 1Juta Ke Wisma Darul Iman di Masjid Rusila, selepas berakhirnya kuliah pagi di masjid itu, hari ini.
Terdahulu, beliau berkata, sudah menjadi tanggungjawab kepada ahli dan pengikut parti berkenaan untuk mewujudkan kuasa dalam pemerintahan ini.
"Dalam masa sama kita perlu kuat, kalau boleh kuasai kerajaan pusat. Kalau tidak boleh kuasai kerajaan pusat kita boleh mempengaruhi kerajaan pusat.
"Kalau kita boleh 40 kerusi di parlimen, kerajaan tidak boleh tubuh kerajaan melainkan dengan bergantung kepada 40 kerusi ini," katanya.
Ahli Parlimen Marang itu turut menyifatkan tiada parti bertanding mampu untuk mendapat sebanyak 112 kerusi pada pilihanraya ini tanpa bergantung kepada pihak lain.
"Walaupun orang lain ada 100 kerusi, kerana nak tubuh kerajaan mesti ada 112 kerusi. Parti-parti tak mampu nak dapat 112 kerusi. 100 kerusi (mungkin) boleh, 80 boleh, 88 boleh, sekadar itu sahaja.
"Kalau kita ada 40 kerusi bermakna kita akan menjadi tempat kebergantungan siapa hendak tubuh kerajaan. Dengan 40 kerusi ini kita ada pengaruh, boleh minta macam-macam.
"Dengan 40 kerusi ini (juga) kita boleh tarik sokongan... jatuh siapa dia, naik siapa dia. Ini dari segi politik (yang kita) kena faham," katanya.
Beliau berkata, walaupun jumlah 40 kerusi parlimen bukanlah jumlah majoriti tetapi parti itu akan dapat menentukan kerajaan yang memerintah selepas pilihanraya ini.
"Walaupun dengan 40 kerusi kita tidak majoriti tetapi dengan 40 kerusi ini kita boleh menentukan kerajaan.
"Ini dari segi politik, ini kena mengaji ilmu politik. Orang mengaji politik tahulah.
"Orang yang tidak mengaji politik tidak tahu hal macam ini tapi kalau tak tahu ikut orang yang tahu, ini kena faham.
"Jangan belajar dengan suratkhabar kena belajar dengan kitab, belajar dengan nas nas dibincangkan oleh ulama," katanya.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :