PPBM Selangor Bertegas Mahu 12 Kerusi DUN, Tidak Iktiraf Keputusan PH

 
 


PPBM Selangor hari ini bertegas mahu bertanding di 12 kerusi DUN yang dimenangi UMNO pada pilihan raya umum lalu dan menolak keputusan pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) semalam.

Ketua Penerangan PPBM Selangor Sallehudin Amiruddin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan ketetapan mesyuarat penyelarasan PH tengahari tadi.

“Jika ada mana-mana parti yang hendak bagi kerusi lebih, kita ‘okay’. Kalau kurang dari itu tidak mungkin,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa rundingan kerusi PH Selangor hari ini.

12 kerusi DUN yang dituntut PPBM adalah; N01 Sungai Air Tawar, N03 Sungai Panjang, N05 Hulu Bernam, N07 Batang Kali, N08 Sungai Burong, N09 Permatang, N10 Bukit Melawati, N12 Jeram, N13 Kuang, N24 Semenyih, N39 Kota Damansara dan N55 Dengkil yang kesemua kerusi itu dimenangi UMNO pada PRU 13.

Menurut Sallehudin, PPBM membuat keputusan itu sebagai respon terhadap tuntutan PKR yang juga mahu bertanding di 12 kerusi yang mereka inginkan itu.

“PPBM ditubuhkan untuk bersaing dengan UMNO dan menggantikan UMNO, kerana itulah kita mahu meletakkan calon di 12 kerusi.

“PKR mahukan semua kerusi itu. Maka kita kosonglah. Tidak ada apa-apa keputusan pada hari ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, Sallehudin turut mengumumkan bahawa PPBM Selangor tidak mengiktiraf keputusan mesyuarat pembahagian kerusi yang dihadiri empat parti komponen PH semalam.

Semalam, Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo berkata PH negeri telah berjaya menyelesaikan rundingan 35 daripada 56 kerusi DUN, melibatkan kerusi asal yang ditandingi PKR, DAP dan Amanah pada pilihan raya umum lepas.

Gobind berkata kerusi-kerusi yang dimenangi DAP, PKR dan Amanah dikekalkan status quo, untuk ditandingi semula pada PRU 14 dan perbincangan hanya dilakukan terhadap kerusi-kerusi yang dimenangi UMNO dan PAS pada PRU lalu.

Tambah Gobind, perbincangan juga turut diadakan jika berlaku pertindihan kerusi-kerusi yang sama dituntut oleh parti-parti kompenan PH dan ia haruslah dibuat rundingan secara berasingan.

Pada PRU13, DAP memenangi 15 kerusi, PKR (14) dan Amanah (2-kerusi), walau bagaimanapun bilangan kerusi DAP dan PKR berkurang 1 kerusi apabila Loh Chee Heng keluar parti dan Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat parti.

15 kerusi yang dimenangi DAP adalah; N04 Sekinchan, N06 Kuala Kubu Baharu, N22 Teratai, N27 Balakong, N28 Seri Kembangan, N30 Kinrara, N31 Subang Jaya, N34 Bukit Gasing, N35 Kampung Tunku, N36 Damansara Utama, N44 Sungai Pinang, N47 Pandamaran, N48 Kota Alam Shah, N56 Sungai Pelek dan N52 Telok Datok.

14 kerusi dimenangi PKR adalah; N11 Ijok, N14 Rawang, N16 Batu Caves, N19 Bukit Antarabangsa, N23 Dusun Tua, N25 Kajang, N32 Seri Setia, N33 Taman Medan, N37 Bukit Lanjan, N40 Kota Anggerik, N41 Batu Tiga, N43 Sementa, N46 Pelabuhan Klang, N49 Seri Andalas dan N50 Sri Muda.

2 kerusi dimenangi Amanah adalah N18 Hulu Kelang dan N53 Morib, walau bagaimanapun kedua-dua kerusi itu dimenangi atas tiket PAS pada PRU 13.

Tiada sebarang kerusi diperuntukkan kepada PPBM dalam mesyuarat pembahagian kerusi PH Selangor semalam kerana PPBM hanya ditubuhkan selepas PRU 13.

Sementara itu, Sallehudin mendedahkan mesyuarat jawatankuasa semalam memutuskan kerusi DUN Sijangkang (PRU 13 dimenangi PAS) dan Jeram (PRU 13 dimenangi UMNO) diserah kepada PPBM.

PPBM bagimanapun menolak bertanding di DUN Sijangkang memandangkan kerusi itu merupakan kerusi PAS, maka secara automatik ia menjadi kerusi tetap untuk calon daripada Amanah.

“Jeram UMNO punya kerusi, Sijangkang PAS punya kerusi. Kita akan letakkan calon di Jeram,” katanya.

Sallehudin berkata setakat ini tiga DUN, Jeram, Sungai Air Tawar dan Dengkil seolah-olah sudah menjadi milik PPBM kerana tiada pertindihan, namun tiada keputusan rasmi dikeluarkan PH Selangor

Mesyuarat pada hari ini hanya dihadiri 3 parti sahaja iaitu Amanah, PPBM, dan PKR. Amanah diketuai Timbalan Pengerusi Amanah Selangor Saari Sungib, PKR diwakili Naib Pengerusi PKR Selangor Xavier Jayakumar, dan Timbalan Pengerusi PPBM Selangor Datuk Sukiman Sarmani.

Setiausaha PH Selangor Zuraida Kamaruddin berkata, mesyuarat pada hari ini berjaya selesaikan 1 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi berjaya diselesaikan adalah 36 kerusi.

“Hari ini meneruskan perbincangan untuk rundingan kerusi, ada beberapa keputusan kita dapat selesaikan. Kita dapat selesaikan 1 kerusi, lagi 20 kerusi belum selesai,” katanya.

Difahamkan, wakil 3 parti yang hadir mesyuarat hari ini diarah untuk tidak bercakap mengenai pembahagian kerusi DUN. Hanya Xavier, yang juga pengarah pilihan raya PH, dibenarkan untuk menjelaskan perkara berbangkit.

LIHAT VIDEO DI SINI

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :