TUNDUK KEPADA AMERIKA?


Malaysia memang terkenal sebagai sebuah negara yang memperjuangkan dasar berkecuali terutama di bawah Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Ketika itu pengkalan-pengkalan tentera negara luar yang beroperasi di Malaysia, seperti British, Australia, New Zealand dan lain-lain diminta keluar dan Malaysia betul-betul menjadi negara yang dianggap merdeka. Pergantungan Malaysia adalah sepenuhnya di bawah keupayaan dan kepolisian Malaysia. 

 Di peringkat antarabangsa Tun Razak memperjuangkan ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom & Neutrality) iaitu negara Asia Tenggara ini bebas dan berkecuali dan tidak menjadi gelanggang pertarungan kuasa-kuasa besar. 

Legasi ini seterusnya disambung begitu hebat di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga Malaysia dipilih sebagai tempat persidangan negara-negara berkecuali. 

 Ucapan-ucapan pemimpin Malaysia khasnya perdana menteri ketika itu menggambarkan negara ini tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar ataupun menjadi alat kepada mana-mana negara. 

 Namun kini, di bawah Najib Tun Razak, negara kita sedang diheret untuk memihak kepada satu kelompok terutama sekali kepada Amerika Syarikat dan kadangkala dilihat memihak kepada China. 

 Malaysia diketahui umum terlibat dalam kumpulan negara yang diketuai oleh Arab Saudi menyerang Yaman, dan di belakangnya sudah tentulah Amerika Syarikat itu sendiri. 

 Penglibatan Malaysia bersama Arab Saudi menyerang Yaman adalah seolah-oleh Malaysia telah keluar dari prinsip sebuah negara berkecuali yang dipegang selama ini. Arab Saudi pula yang dipengaruhi oleh Amerika Syarikat sedang rapat dengan Israel. 

 Apakah ini langkah yang dibenarkan oleh Najib dengan mengizinkan perwakilan Israel untuk hadir ke persidangan _World Urban Forum (WUF) yang berlaku di Malaysia minggu ini? 

 Perwakilan Israel secara rasminya bebas masuk dan berada di Malaysia menghadiri sidang WUF dan selamat pulang. 

 Apakah Najib sedang mengubah polisi Malaysia yang terkenal sebagai anti Israel, anti apartheid, anti keganasan menjadi negara yang pro Amerika, pro Israel dan pro Arab Saudi dan berada di bawah telunjuk Amerika Syarikat? 

 Najib mesti menjelaskan keadaan yang berlaku ini kepada seluruh rakyat di negara ini. 

#MenjunjungAmanahRakyat 

MOHAMAD SABU 
Presiden Parti Amanah Negara 
15 Feb 2018

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :