Daripada jadual di atas, ia menunjukkan Barisan Nasional (BN) mempunyai 133 kerusi Parlimen (selepas PRU 13). Jadual yang sama menunjukkan negeri Sabah dan Sarawak merupakan penyumbang terbesar kerusi Parlimen BN iaitu sebabnya 47 kerusi. Sifir mudah, jika Pakatan ingin mengalahkan BN, mereka perlulah menumpukan kepada kubu kuat BN. Setakat ini, Pakatan Harapan yang diterajui oleh Tun Mahathir lebih menumpukan kepada kerusi-kerusi di Semenanjung. Apakah cukup bagi mereka sedangkan Pakatan kehilangan sebanyak 21 kerusi Parlimen kepada PAS (dengan mengandaikan wakil rakyat Amanah menang kerana mereka mewakili PAS pada PRU yang lepas).
Jika menggunakan keputusan PRU ke-13 sebagai asas, kelihatan strategi Pakatan agak pincang kerana kurang menumpukan perhatian di Sabah dan lebih-lebih lagi di Sarawak. Ini kerana propaganda Pakatan Harapan adalah untuk menjatuhkan UMNO sedangkan di Sarawak tiada UMNO. Tambahan pula, tiada parti dominan dalam Pakatan yang setanding dengan PBB di Sarawak. Di Sabah pula, belum lagi kelihatan hubungan akrab antara Pakatan Harapan dan Parti Warisan.
Jadi, apa sebenarnya strategi Tun Mahathir dalam Pakatan? Untuk mengulas perkara ini, kita perlu mengimbau sejarah penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ianya ditubuhkan selepas anak Tun Mahathir iaitu DS Mukhriz tidak lagi menjadi Menteri Besar. Setelah menyedari riwayat politik anaknya sudah tamat dalam UMNO, Tun Mahathir bersama Tan Sri Muhyiddin menubuhkan PPBM untuk menjatuhkan UMNO. Di sinilah bermulanya kepincangan strategi Tun Mahathir sendiri.
1. Pribumi yang bukan Pribumi.
Jika dilihat dalam rajah pejabat parti PPBM, PPBM tidak membuka pejabat di Sabah dan Sarawak. Persoalannya, adakah tiada pribumi di Sabah dan Sarawak?
2. Pribumi di Semenanjung juga diketepikan.
Melihat kepada gambar pimpinan tertinggi PPBM dari laman web rasmi mereka, tiada pula kelihatan wajah Orang Asli/Asal. Persoalan yang berikutnya, adakah orang asli bukan Pribumi? Ianya bertentangan dengan Perlembagaan PPBM yang kononnya termasuk dua kumpulan di atas (Orang Asli/ Asal dan Bumiputra Sabah dan Sarawak).
Menurut Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pribumi bermaksud warganegara Malaysia berbangsa Melayu dan Bumiputera termasuk orang asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang ditakrifkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri dan undang-undang negara.Maka, apakah matlamat asal PPBM? Jika mereka katakan untuk membela bumiputra, kenapa ketepikan Orang Asli/ Asal dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Jika untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional, kenapa mereka tidak bersungguh-sungguh berjuang di Sabah atau Sarawak?
Tidak salah jika dikatakan PPBM ini hanya bermatlamatkan untuk menjadikan DS Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah kerana dari segi gerak kerja dan kepimpinan, PPBM lebih tertumpu di Kedah. Lancarlah manifesto semanis kurma, tetapi jika ia tidak diselarikan dengan jentera di peringkat akar umbi, maka manifesto hanya mampu menang dalam mimpi. Jika mereka kalah, adakah layak untuk mereka salahkan UMNO dan Barisan Nasional jika strategi mereka sendiri pincang dari peringkat awal?
Kalau tak pandai menari,
Jangan pula disalahkan lantai,
Kalau tak pandai strategi,
Jangan SPR pula kamu bantai.