Arul Kanda: Tiada wang 1MDB disalur kepada Najib...

Arul berkata ini berdasarkan rekod 1MDB sendiri dan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata syarikat tidak pernah menyalurkan apa-apa juga jumlah wang ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam forum Bicara Negara di Ipoh hari ini, Arul berkata, ini berdasarkan rekod 1MDB sendiri dan penyiasatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Saya mengesahkan 1MDB, berdasarkan rekod kami dan penyiasatan PAC, tidak pernah membayar walau satu sen pun kepada akaun peribadi perdana menteri,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Arul berkata demikian dalam sesi soal jawab forum berkenaan dakwaan perdana menteri menerima RM2.6 bilion wang berkait 1MDB ke dalam akaun peribadi.
Star Online memetik Arul berkata, 1MDB terus menjadi sasaran pembangkang kerana kehabisan modal untuk mengkritik kerajaan.
Beliau memuji kerajaan kerana memperbaiki keadaan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.
“Isu 1MDB adalah isu lama tetapi pihak tidak bertanggungjawab terus menghebohkannya,” tambahnya.
Arul berkata, Najib terus dikaitkan dengan 1MDB kerana pernah memegang jawatan pengerusi lembaga penasihat.
“Kuasa beliau hanyalah sebagai penasihat, dan oleh sebab kedudukannya dalam lembaga itu, pembangkang mendakwa beliau bertanggungjawab” katanya, dan menambah Najib tidak memiliki kuasa eksekutif.
Arul berkata, rakyat tidak harus membuat spekulasi tentang saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DoJ) terhadap 1MDB yang difailkan pada 2016.
“Sehingga kini tidak ada apa-apa prosiding, pembelaan atau penghakiman (mengenai saman itu).”
“Baru-baru ini mereka turut meminta mahkamah menangguhkan kes itu selama 6 bulan lagi,” katanya.
Najib menafikan sebarang salah laku berhubung 1MDB dan pada 2016, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata wang sebanyak AS$681 dalam akaun beliau adalah hadiah daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Minggu lepas, 1MDB berkata ia tidak boleh menuntut 104 juta francs Swiss (RM430 juta) yang sedang dipertimbangkan oleh Parlimen Switzerland untuk dipulangkan kepada pemilik berhak kerana wang itu bukan milik syarikat atau kerajaan Malaysia.
“1MDB sebelum ini menyatakan dan mengulangi ia tidak kehilangan wang dan semua wangnya diambil kira sepenuhnya,” katanya kenyataan.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :