
PUTRAJAYA: Keluarga remaja Aminulrasyid Amzah yang meninggal dunia akibat 21 das tembakan kira-kira lapan tahun lalu, akhirnya beroleh ganti rugi RM114,800 selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan kerajaan dan polis.
Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif menolak rayuan tersebut selepas mendapati peruntukan undang-undang berhubung perkara itu adalah jelas dan tidak perlu diperhalusi lagi.
Aminulrasyid terkena tembakan dilepaskan polis semasa mengejar kereta yang dipandu laju remaja itu pada kira-kira 2 pagi, 26 April 2010.
Pada Mac 2016, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan ganti rugi RM414,800 diberikan kepada ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad dan kakak sulungnya, Nor Azura atas kematian remaja itu selepas membenarkan sebahagian rayuan Koperal Jenain Subi dan lima lagi.
Pada 2 Jun 2017, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tiada justifikasi (kewajaran) untuk polis melepaskan tembakan ke arah Aminulrasyid pada 2010.
Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengurangkan jumlah ganti rugi diberikan kepada keluarga Aminulrasyid kepada RM114,800.