Menteri Besar Pahang, Dato' Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob menafikan desas-desus yang mengatakan bahawa beliau akan bertanding kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke 14 nanti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu bagaimanapun membayangkan kemungkinan akan ada calon BN di negeri ini yang akan bertanding dua kerusi, Parlimen dan DUN.
Namun jelas beliau, soal pemilihan calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum kelak bergantung kepada keputusan dan kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.
“Memang kita akan cuba meletakkan calon-calon yang boleh bertanding dua kerusi, tetapi saya tidak termasuk dalam kategori itu,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran Projek Perumahan Rakyat Kampung Baris di sini, hari ini.
Pada PRU13, Adnan menang buat kali ketujuh di kerusi Dun Pelangai dengan majoriti 2,475 undi apabila memperoleh 6,245 undi menewaskan Abdul Hamid Bahatin (Pas) yang mendapat 3,770 undi.