NIK Abdul Aziz Nik Mat, pemimpin ternama PAS meninggalkan legasi besar dalam parti itu tetapi tidak semua anak lelakinya kini kekal dalam parti Islam tersebut.
Ada di kalangan cahaya matanya itu cenderung untuk menyertai parti seteru PAS iaitu Amanah dan mungkin menjadi calon menteri besar untuk parti tersebut.
Bagaimanapun The Malaysian Insight difahamkan anak lelaki sulung Nik Abdul Aziz itu, Nik Omar, 54, hingga sekarang masih belum menegaskan minatnya itu disebabkan tekanan keluarga.
Nik Omar dikatakan sukar untuk menzahirkan minatnya itu kerana allahyarham bapanya merupakan seorang bekas menteri besar dan pemimpin PAS paling dihormati.
Orang yang paling dihormati oleh Nik Omar iaitu ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak pula tidak senang jika beliau menyertai Amanah dan bertanding pilihan raya kerana bimbang akan berlaku perpecahan dalam keluarga besar Nik Aziz itu.
"Nik Omar ini sangat minat untuk menyertai dan aktif dalam Amanah tetapi kerana tekanan keluarga, nampaknya sukar bagi beliau," kata Dr Mujahid Yusof, rakan rapat Nik Omar.
Lebih-lebih lagi memandangkan Amanah sudah diberikan pelbagai label buruk oleh pemimpin PAS termasuk oleh adik beliau sendiri, Nik Abduh.
Nik Abduh merupakan AJK PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Pasir Mas.
Seorang lagi adik beliau, Nik Rahim adalah aktivis Ikatan Muslimin Malaysia, sebuah pertubuhan Islam yang sering meraih kontroversi atas pendirian berhubung isu melibatkan agama Islam dan bangsa Melayu.
Adik beliau seorang lagi, Nik Adli adalah bekas tahanan ISA yang didakwa terlibat dalam kegiatan militan ketika belajar di Pakistan dahulu.
Namun tumpuan utama kini adalah pada Nik Omar, yang sudah disebut-sebut sebagai antara calon parti Amanah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Nik Omar kini mewarisi sekolah agama yang diasaskan oleh ayah beliau, iaitu Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka yang terletak bersebelahan dengan rumah Nik Aziz.
Sebagai pengetua sekolah agama swasta ini, Nik Omar mahu menjadikan sekolah ini sebagai penyambung pemikiran Nik Aziz khususnya dalam bidang pendidikan.
Beliau juga mahu sekolah ini menyelami suasana pendidikan yang diterima Nik Aziz semenjak kecil sehingga mencorakkan kehidupannya.
Bakal menteri besar
Sebagai anak bekas menteri besar paling berpengaruh di Kelantan, Nik Omar juga disebut sebagai antara calon menteri besar Kelantan jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya umum akan datang.Read More / Baca Lagi >>