![]() |
Tiada unsur penyelewengan melibatkan Air Kelantan Sdn Bhd? |
Respon saya pusingan pertama adalah seperti berikut:
a. Fakta Saya Tidak Dinafikan
Dakwaan saya bahawa surat tawaran AKSB kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd diberikan sebulan setengah lebih awal dari tarikh syarikat JV itu didaftarkan diperkukuhkan oleh YB Dato Hanifa melalui sidang media beliau semalam, 6 Mac 2018. Bukan dinafikan.
Cuma YB Dato Hanifa cuba memberikan helah bagi kejadian itu berlaku iaitu syarikat JV itu dalam proses pendaftaran. Syarikat berkenaan telah memohon kebenaran untuk tujuan itu selepas mereka dianugerahkan projek itu.
Kita akan melihat sama ada alasan ini adalah satu percubaan putar belit dan menutup kesalahan itu atau ianya sah dan benar.
Bagi mengukuhkan lagi kedudukan kebenaran fakta saya itu adalah tindakan serta merta AKSB melakukan siasatan dalaman bagi memburu pegawai-pegawai AKSB yang disyaki membocorkan ‘rahsia’ itu kepada saya.
Dalam posting ini, saya lampirkan memo dalaman dari Unit Perhubungan Perusahaan, Jabatan Modal Insan AKSB, Mohd Fakrolah Yusof kepada pegawai-pegawai untuk hadhir dalam sesi siasatan awal yang akan diadakan pada petang ini, 7 Mac 2018.
Kenyataan media YB Dato Hanifa semalam juga menyebut perkara yang sama.
Pemburuan ini sepatutnya dikutuk oleh Rakyat Kelantan yang cintakan pentadbiran yang bersih dan amanah.
Tindakan Kerajaan Kelantan ini membuktikan mereka secara terbuka sanggup melindungi perbuatan curang.
Suka saya tegaskan di sini, dokumen-dokumen yang sampai kepada saya, termasuk bayaran-bayaran kontrak yang melebihi kadar sebenar, diperolehi melalui ‘sumber-sumber ’ lain. Sama sekali bukan dari anak buah YB Dato Hanifa di AKSB yang disyaki menikam perbuatan curang dari dalam itu.
Jangan aniayai mereka!
Untuk makluman SPRM, jika SPRM terbaca posting saya ini, ’sumber-sumber’ saya ini telah bersedia menjadi saksi di mahkamah jika diperlukan oleh SPRM. ‘Sumber-sumber’ (baca: bukan hanya satu sumber) telah menyimpan kemas dokumen yang dikatakan hilang, ketika siasatan awal dilakukan.
Saya boleh dihubungi oleh SPRM untuk mendapatkan nama ’sumber-sumber’ itu yang telah bersedia tampil demi Kesejahteraan Rakyat Kelantan!
Rakyat Kelantan yang dinafikan bekalan air yang memuaskan berhak melihat siasatan dilakukan ke akar umbi!
Keangkuhan YB Dato Hanifa cuba membuli pihak yang jujur perlu ditamatkan!
Saya yakin, Rakyat Kelantan mampu lakukannya!
(Bersambung siri dua. Saya sengaja singkatkan penulisan saya mengenai isu ini dengan menjadikannya bersiri, supaya pembaca biasa mampu mengikuti isu ini sepenuhnya)
YB Husam Musa