Jika orang meminta saya menyenaraikan antara sahabat baik dalam hidup saya, maka al-fadhil Dr Maszlee Malik antara mereka. Saya lama mengenalinya dan sentiasa menganggap beliau mempunyai keistimewaan yang tersendiri khususnya dalam aliran-aliran pemikiran politik. Demikian juga dalam sejarah gerakan Islam yang pelbagai. Beliau juga handal dalam pandangan fikah. Beliau tokoh ilmuwan.
Ya, seperti sifat ahli akademik, ada perkara yang kami setuju dan tidak setuju, tapi beliau sahabat yang baik untuk saya. Saya mengasihi beliau sebagai sahabat bahkan bagaikan adik-beradik saya sendiri. Banyak perkara yang saya belajar dari beliau ataupun menjenguk dari tingkap yang dibuka oleh beliau melalui perbincangan dan perbahasan. Ini khususnya berkaitan pemikiran Barat. Apatah lagi, bahasa Inggeris beliau bagus dan banyak membaca bahan barat. Pada hari-hari awal saya mendekati penulisan barat -sebelum menjadi felo di Oxford- Dr Maszlee merupakan antara rujukan saya dalam memilih bahan-bahan penting.
Semasa saya dilantik menjadi mufti Perlis buat kali pertama pada tahun 2006-2008, beliau antara tokoh yang saya pilih menganggotai Jawatankuasa Fatwa Perlis. Kemudian beliau ke United Kingdom (UK) menyambung pelajaran. Selepas itu saya pula tamat sebagai mufti bagi kali pertama 2008, saya terus ke Lampeter, Wales UK. Di UK, kami bersahabat lebih rapat walaupun tempat tidak sama. Beliau di Durham. Namun kami selalu berjumpa di London.

Hari-hari yang datang dan pergi menjadikan kami lebih dekat atas pelbagai perkembangan dakwah dan pemikiran dalam negara ini. Dalam kerangka pemikiran fikir, saya rasa kami tidak jauh walaupun ada perkara-perkara yang kami berbeza. Dalam saat-saat cabaran yang getir dalam dakwah saya, beliau sentiasa ada sebagai sahabat yang dekat. Maka, dalam banyak perkara saya mengambil kira pandangan beliau dalam menilai sesuatu secara seimbang.
Apabila saya dilantik semula sebagai mufti Perlis untuk kali kedua pada 2015, saya sekali mencalonkan nama beliau sebagai anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis. Ini atas kelayakan beliau di bidang fikah dan pemikiran Islam. Beliau aktif dan bernas apabila hadir mesyuarat.
Walaupun kadangkala saya kurang gembira sebab beliau sering juga 'gagal hadir' mesyuarat kerana sibuk.
Di sudut kembara, kami pergi umrah bersama. Pernah ke Scotland bersama. Pernah ke Jerman bersama. Pernah ke Republik Czech bersama. Pernah ke Gaza bersama. Pernah ke Amerika Syarikat bersama dan pelbagai lagi. Pendek kata beliau antara sahabat yang dekat.Read More / Baca Lagi >>