Skandal 1MDB: FBI tak minta bantuan kami siasat Equanimity, kata polis

Equanimity-indonesia
KUALA LUMPUR: Ketua polis negara mengesahkan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) tidak pernah menghubungi pihaknya untuk memohon kerjasama dalam menyiasat kapal layar mewah, Equanimity yang dirampas di Bali, minggu lalu.
Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut memaklumkan pihak berkuasa Indonesia juga tidak pernah menghubungi Malaysia untuk perkara sama.
“Tidak ada dan tidak pernah,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, hari ini.
Semalam, polis Indonesia mengesahkan kerjasama siasatan berhubung rampasan Equanimity yang dikaitkan dengan 1MDB tidak membabitkan Malaysia.
Indonesia dilaporkan diminta FBI untuk mengesan dan menyita kapal layar mewah itu, tetapi siasatan tidak membabitkan pemilik kapal, Low Taek Jho.
Rabu lalu, polis Indonesia menyita Equanimity di Bali yang dicari Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) atas permintaan FBI.
Ogos lalu, DoJ meminta penangguhan saman sivilnya bagi merampas aset lebih AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana dicuri daripada 1MDB kerana sedang menjalankan siasatan jenayah ke atas 1MDB.
Equanimity sepanjang 91m yang didaftarkan di Kepulauan Cayman, merupakan antara sasaran tindakan pembekuan aset oleh DoJ tahun lalu.
Menurut pemfailan DoJ di mahkamah AS tahun lalu, Equanimity didakwa ditempah khas dan dilengkapi sauna, bilik urut, kolam renang dan ruang tamu, serta diselenggara dengan dana AS$250 juta (RM1.06 bilion) berasal dari 1MDB.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :