THE MALAYSIAN TIMES

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata ia selaras dengan Perkara LV Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibaca bersama dengan Perkara LXX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
“Saya telah mengambil maklum akan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak) berkuat kuasa 7 April 2018 (esok).
“Saya akan menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada tarikh yang diperkenankan oleh Tuanku bagi mendapat perkenan Tuanku untuk pembubaran DUN Selangor supaya proses Pilihan Raya Negeri Selangor ke-14 dapat diadakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mandat kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR tamat pada Jun 2018. Sesi persidangan DUN Selangor yang pertama adalah pada 21 Jun 2013, selepas pilihan raya umum ke-13.
Terdahulu, perdana menteri dalam lintas langsung khasnya hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok bagi membolehkan pilihan raya umum ke-14 diadakan.