KEMASKINI Chegubard didakwa di bawah Akta Hasutan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin hari ini didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Seksyen Shah Alam, atas tuduhan mengeluarkan artikel menghasut mengenai Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di laman sosial Facebook (FB) pada Januari lalu.
 
Walau bagaimanapun, bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.
 
Malam tadi melalui laman sosial Facebooknya memberi tahu beliau ditahan polis pada jam 12.35 malam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Shah Alam
 
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerbitkan tujuh perkara menghasut itu menerusi akaun laman sosial Facebook miliknya atas nama Chegubard di Jalan Kuarza 7/9, Seksyen 7, di Shah Alam kira-kira pukul 5 petang, 11 Jan lepas.
 
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
 
Jika kesalahan sama dilakukan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun.
 
Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad yang mengendali kes itu memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain tiada sebarang dokumen perjalanan dikeluarkan kepada Badrul Hisham sehingga kes selesai.
 
Katanya ini kerana tertuduh sepatutnya didakwa semalam namun Badrul Hisham tidak dapat dikesan sehingga tengah malam tadi menyebabkan ia terpaksa ditangguh ke hari ini dan sikap tertuduh dilihat seperti cuba mengelak untuk dibawa ke mahkamah.
 
Peguam tertuduh, Muhammad Nor Izzat Nordin berkata anak guamnya bersedia menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah dan memohon jaminan dikurangkan antara RM3,000 hingga RM5,000.
 
Hakim Rihaida kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan kes akan disebut semula pada 16 Mei ini.
 
 

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :