Oleh Ainor Rahim

KLANG: MIC bakal bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam tidak memerincikan senarai kerusi berkenaan namun menyebut beberapa kawasan antaranya kerusi Parlimen Sg Siput, Tapah, Kapar, Segamat dan Kota Raja.
Ujarnya, pengumuman rasmi akan dibuat kemudian di Ibu Pejabat MIC, di ibu negara hari ini.
"Kita akan bertanding sembilan Parlimen dan 18 kerusi negeri (DUN).
"Kerusi Parlimen Sg Siput, Tapah, Cameron Highlands saya rasa setakat ini.
"Ini kita akan umum secara rasmi hari ini, sembilan kerusi yang kita akan tanding," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Rasmi Bangunan Baru SJK (Tamil) Taman Sentosa sebentar tadi.
Pada PRU13, Barisan Nasional (BN) memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan - MIC hanya menyumbangkan empat kerusi.
MIC sebelum ini berkali-kali menyatakan hasrat untuk bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN.