
KUALA LUMPUR: Keputusan pembatalan pendaftaran PPBM tidak memberi kesan kepada politik negara, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.
Nazri kemudiannya berkata pembatalan pendaftaran PPBM tidak akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Tiada kesan kepada kami. Pengundi sudah membuat keputusan.
“Kami mahu menang dalam satu pertarungan yang hebat dan bukan kerana pendaftaran mana-mana parti dibatalkan," katanya selepas melancarkan Pelancongan Pintar Malaysia 4.0.
Nazri berkata PPBM tidak harus menyalahkan sesiapa dalam perkara itu sementelah pihaknya sendiri yang mencipta dan melanggar perlembagaan partinya itu.
“Perlembagaan parti dirumuskan oleh mereka yang mencipta parti itu. Tiada orang paksa kamu masukkan apa-apa pun. Kamu yang tetapkan dan kamu mesti patuhi undang-undang.
“Apa yang mereka masukkan itu satu keperluan bagi mana-mana parti yang sah di negara ini dan oleh itu kamu mestilah patuhinya,” katanya.
Beliau berkata Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhak membatalkan pendaftaran parti itu, “terutama selepas akar umbi parti itu sendiri membuat aduan”.
“Saya faham mengapa Pakatan Harapan tidak dapat didaftarkan kerana isu pandaftaran salah satu parti anggota mereka.
“Kamu perlu patuhi undang-undang. Kita harus ingat Umno juga pernah diisytiharkan haram kerana gagal mematuhi perlembagaan parti.”