Oleh Athirah Hanapiah

SHAH ALAM: Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata beliau terkejut dengan pengumuman Pendaftar Pertubuhan (RoS) bahawa partinya dibubarkan.
Beliau berkata PPBM tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara itu malah RoS bersikap berdiam diri selepas partinya menghantar dokumen-dokumen yang diminta.
"Saya rasa kalau betul perkara itu, ertinya ia telah membelakangi segala peruntukan undang-undang dan ini satu hal yang agak mengejutkan dan tidak sepadan dengan pegawai, latihan dan keprofesionalan (RoS).
"Dia perlu bagi surat tunjuk sebab dahulu, tetapi ini tiba-tiba dan tidak ada surat tunjuk sebab," katanya ketika dihubungi Antarapos.
PPBM sebelum ini menghantar beberapa dokumen yang diminta RoS termasuk penyata kewangan dan minit mesyuarat partinya di peringkat Bahagian dan Cawangan seluruh negara.
Dokumen itu diperlukan untuk melengkapkan siasatan terhadap PPBM, selepas mendapat aduan daripada lebih 400 ahli akar umbinya bahawa mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu, 30 Disember lalu, tidak sah.
Kamaruddin kemudiannya berkata PPBM tidak menolak untuk mengambil tindakan terhadap RoS berikutan percaya jabatan itu melanggar peraturan yang ditetapkan.
"Tetapi tidak mengapa, dia (RoS) yang nak buat tindakan itu. Kita adalah tindakan kita.
"(Sebelum ini) Kita sudah hantar (dokumen) dan dia tidak jawab apa-apa, tidak kata 'okay' atau tidak memenuhi keperluan atau apa sahaja, tidak ada beritahu apa-apa," katanya.