SEKOLAH TAHFIZ PERSENDIRIAN MERBAHAYA JIKA TAK SETARAF DENGAN ALIRAN NASIONAL

PERTUMBUHAN LIAR YANG DIWARISKAN KEPADA MAHATHIR



Pelajar -pelajar Maahad Mahmud dalam uniform sekolah yang dimodenkan oleh  Allahyarham Sheikh Abdul Halim untuk membezakan  dengan sekolah-sekolah pondok yang berkupiah putih
dan berkain sarong. Dibelakang sekali nombor lima dari kiri ialah Dr.Halim Ismail(Pengarah  Urusan Bank Islam Pertama dan saya disebelah kanannya.

Kenapakah anjuran saya supaya ditutup sekolah persendirian tahfiz telah membangunkan gelora  reaksi yang lebih  hebat dari pandangan saya  yang sama terdahulu. Siapakah saya  tanpa kuasa politik, kedudukan berpengaruh  untuk ditakuti?

Golongan yang membantah ini terutamanya dari pedagang-pedagang kelas thafiz dan juga kalangan agama yang menjangka kerajaan tidak lagi akan memberikan perhatian  kepada perakuan-perakuan untuk pengawalan dan penyelian sekolah ini.

Pertumbuhan sekolah-sekolah tahfiz ini berlaku dengan liar kerana kerajaan Barisan Nasional yang lalu membiarkannya kerana takut kehilingan pengaruh   keharmonian politik tanpa  melihat bahayanya.

Ini terus berlaku   sekalipun   Jawatankuasa Tindakan Khas Mengenai Sekolah Tahfiz ditubuhkan dengan dipengerusikan  oleh bekas TPM Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ekoran beberapa tragedi buruk di sekolah tahfiz dan pendedahan  kepincangan kelemahannya.

Khabarnya Blue print yang  inclusive telah pun disiapkan berasaskan kepada siasatan dan perbincangan dengan  semua pihak yang berkelayakan didalam bidang keselamatan, pelajaran dan pegawai jabatan-jabatan agama.

Tentunya jawatankuasa ini  mengambil kira standard bangunan sekolah, persekitaran dan keperluan lain untuk  memperbaiki taraf supaya  sama dengan sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini.

Jika kerajaan sekarang  tidak mengambil tanggungjawab ini, maka tentunya sekolah-sekolah ini akan terus berada ditaraf yang rendah dan bergantung kepada bantuan ramai. Mereka tidak akan mampu berdiri sendiri  seperti sekolah-sekolah Cina yang boleh berkembang subur atas  kemampuan masyarakatnya yang kaya.

Imej murid-murid sekolah tahfiz sebagai peminta sedekah akan terus kelihatan. Kita tidak seharusnya menghadapi masalah Al Arqam sekali lagi.

Saya akui saya tidak mengemukakan  sebarang cadangan yang konstruktif dalam mengesyorkan penutupan sekolah-sekolah tahfiz persendirian ini kerana memikirkan perakuan yang comprehensive  berasaskan kajian dan perbincangan semua pihak dengan kepakaran masing-masing   telah pun dikemukakan kepada jawatankuasa berkenaan tetapi semuanya hanya hangat-hangat tahi awam dan mahu disapu di bawah tikar.

Tanggungjawab ini sekarang mestilah dipikulkan oleh kerajaan PH pimpinan  Perdana Meneri kali kedua Tun Dr Mahatir.

Menteri Agama yang baru Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa  dan Menteri Pelajaran  Dr.Maszlee Malik  yang merupakan tokoh  modenis Islam yang sefahaman dalam pendekatan Islam yang terbuka dan progresif tentu dapat menjalankan tugas yang berkesan dalam bidang ini.

Jika keadaan sekolah-sekolah ini terbiar tanpa penyeliaan maka pastinya akan menyuburkan kebangkitan dissenters dan pelampau  di negara ini  kerana tekanan perasaan sebagai rakyat kelas kedua  dan tidak dapat menyesuaikan diri   dengan aliran perdana.

Menggerunkan institusi-institusi  yang beridentiti keAraban ialah mesej , Datuk Dr.Mujahid  sebaik sahaja dilantik menjadi menteri agama di JPM. Katanya "Islam di Malaysia mesti digayakan seperti orang Islam tempatan" dan beliau juga telah bertanya "Adakah dengan memakai songkok dan baju Melayu kita tidak boleh menjadi tahfiz?

Dan Menteri Pendidikan  Dr.Maszlee Malik menegaskan " Saya tidak mahu politik kepartian sempit mempengaruhi insitusi-institusi pendidikan  yang bakal membentuk masa depan anak kita"

Bagi saya yang berasal dari  sekolah Arab dan agama yang pertama dimodenkan di negara ini ditengah-tengah suasana pertumbuhan  pondok di Kedah iaitu Maktab Mahmud atau Maahad Mahmud  di tahun 50an, saya tidak menganggap  kecil dan remeh kenyataan ini tetapi akan membawa suatu perubahan besar dalam membangunkan imej Islam moden selari dengan nilai keilmuannya  di negara ini jikakedua-dua menteri ini  berani "walk the talk"

Negara mempunyai sejarah yang panjang untuk membawa ketamadunan dalam perkembangan sekolah-sekolah agama yang bermula dari pondok terutama di Kedah dengan  baginda-baginda Sultan sendiri memberi perhatian.

Mudir Maktab Mahmud Alor Setar yang pertama Sheikh Abdulah Halim   dengan berani membawa pemodenan dalam mata pelajaran dan juga imej Maahad   yang membezakannya dengan sekolah-sekolah pondok walaupun   menimbulkan kemarahan di kalangan guru-guru  pondok yang konservatif di Kedah.

Selain dari memperkenalkan mata pelajaran akademik beliau juga memperkenlkan uniform sekolah berkemeja putih, berseluar kain kaki panjang  dan bersongkok hitam.

Tujuannya adalah untuk membezakan dengan sekolah-sekolah pondok yang murid-muridnya berkopiah putih, berkain sarung dan berbaju Melayu yang dipanggil pak lebai. Beliau mahu uniform  pelajar Maktab Mahmud kemas seperti  Sultan Abdul Hamid College Sekolah Inggeris yang terkemuka di Kedah. Pelajar-pelajar Maahad  aktif dalam bidang sukan, drama dan lain-lain yang  menaikkan imej maktab.

Saya sempat melalui proses ini di Maktab Mahmud sekalipun tidak panjang masa saya disini.

 Bekas pelajar-pelajar  Maahad Mahmud  yang seangkatan  dengan saya sukar untuk meninggalkan  songkok hitam setelah memakainya selama 8 tahun. Mereka termasuk Allah Yarham Presiden Pas Datuk Fadhil Noor, bekas Menteri Besar Kedah(PAS) Allahyarham  Datuk Azizan dan kawan-kawan saya  seperti bekas Duta Malaysia di Arab Saudi Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Pengarah Urusan Bank Islam yang pertama Datuk Dr.Abdul Halim Ismail dan beberapa orang pegawai tinggi kerajaan lagi yang sampai sekarang masih lebih selesa dengan songkok hitam.

Jika tidak kerana penghayatan yang diberikan oleh Sheikh Abdul Halim, saya tidak fikir kami akan ke sekolah Inggeris malam dan petang.

Kerana kesedarannya juga terhadap Bahasa Inggeris maka anaknya Ahmad Fairuz(Tun) berjaya menjadi   Ketua Hakim Negara dan anak perempuannya enjadi  pemberita Berita Harian.

Baru-baru ini saya menerima ucapan selamat hari raya dari  Tun Fairuz    yang antara lain mencatitkan "Semasa Allahyarham ayahanda saya masih hidup dia selalu juga mengesahkan hal Tan Sri kepada saya  dan saya ikuti aktiviti Tan Sri  sebelum dan semasa menjadi menteri ,juga selepas menjadi menteri".

Saya bukanlah kawan kepada Datuk Mujahid Yusuf Rawa tetapi   kawan kepada bapanya  Yusuf Rawa seorang nasionalis yang berani dan pemimpinpemimpin Pas yang lain seperti  Datuk Asri Haji Muda, Hassan Adli , Abu Bakar Hamzah y yang mendukung perjuangan nasionalisme dan  Islam. Yusuf Rawa mempunyai sejarah yang menarik dan kali terakhir saya menemuinya  semasa beliau  menjadi Duta Malaysia di Iraq di zaman Tun Hussein Onn.

Semasa mereka mendukung Pas, imej Pas adalah sebagai parti nasionalis walaupun memperjuangkan agama tetapi ini bertukar kepada imej
pelampau agama yang taksub ,bengis dan ganas  bila dipimpin  oleh ulama.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :