UTUSAN MELAYU MERANDUK API TAK PASTI HIDUP ATAU MATI


PRESIDEN Universiti Islam Malaysia(UIM) Tan Sri  Mohd Nur Yusuf sedang menerima beberapa buah  buku  sebagai simbolik penyerahan lebih 500 buah koleksi Zam (Zainudin Maidin) kepada UIM. Di kanan sekali Ketua Perpustakaan UIM Encik Azman   

Krisis kewangan dan keyakinan yang  sekarang menggugat Utusan Melayu (Utusan Malaysia)  akhbar Melayu tertua  di Malaysia  adalah sama dengan krisis yang dihadapi oleh akhbar ini dalam tahun 1961.

Punca utamanya adalah kerana ia  tidak dapat menghayati perasaaan semasa  rakyat dalam perubahan politik dan sosial   dan para wartawannya terus berada  dalam  sentimen politik berasaskan ideologi wang yang mereka percayai  akan menjamin survivalnya.

Pendukong-pendukong  Utusan Melayu dari sejak awal termasuk pengasasnya Yusuf Ishak digerakkan oleh  nasionaliosme Melayu  anti DKA (Darah Keturunan Arab) dan DKK ( Darah Keturunan Keling)  yang   mendahului nasionalisme  anti penjajah yang bangkit dalam masa  pemerintahan Jepun dan  penjajahan British selepas perang pada awal tahun 40an .

Presiden pertama  UMNO, Datok Onn Jaafar berterima kasih secara terbuka kepada Utusan Melayu kerana seruan Utusan Melayulah  yang membawa kepada perhimpuan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang mendorongkan kepada penubuhan UMNO untuk menentang  gagasan Malayan Union British  bagi mengekalkan penguasaannya.

Zam mengautograpkan buku karyanya Di Depan pi di Belakang Duri kepada seorang pembelinya di Majlis Penyerahan buku-buku koleksinya kepada UIM
Bagaimanapun hubungan  Utusan Melayu dengan UMNO tidak kekal kerana pendukong-pendukong  Utusan Melayu bersama dengan nasionanalis Melayu kiri dan gulongan sosialis dan  komunis  menentang Perlembagaan Persekutuan cadangan  British  sebaliknya Utusan bersama dengan  PKM (Parti Kebangsaan Melayu) dalam   AMCJA( All Malayan Council of Joint Action )   mahukan Perlembagan Rakyat yang lebih saksama dan tidak memberikan kuasa dominan kepada Raja-Raja Melayu

Utusan Melayu bersemangat republik berada dihadapan  dalam memperjuangkan gagasan Melayu Raya untuk penyatuan  Indonesia dan Malaya,menentang Imperialisme Barat, menolak pasaran bebas,menentang  kapitalisme dan bersikap pro blog Timur yang didalangkan oleh Russia dan China.

Perjuangan ini berterusan  walaupun setelah berpindah ke Malaya pada tahun 1957 yang berada di bawah pemerintahan Perikatan dengan tulang belakangnya UMNO yang dasarnya anti komunis, pro Barat dan percaya keselamatan dan kekuatan  masa depan  ekonomi negara bergantung  kepada perlindungan Barat.

 Yusuf Ishak sebagai Pengarah Urusan Utusan Melayu walaupun seorang  sosialis tetapi mementingkan  perniagaan dan survival  Utusan Melayu, berada dalam dilema. Beliau tidak dapat  mengawal wartawan-wartawannya yang berhaluan kiri  dan dalam masa yang sama menghadapi tekanan  dari Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman yang tidak senang dengan dasar Utusan.

Kekuatan Tunku adalah orang Melayu dan rakyat yang menyokongnya yang juga menolak Utusan yang  memberi kesan kepada penjualannya.

Kekecewaan terhadap kegagalan Yusuf Ishak,akhirnya memaksa Tunku  mengarah UMNO mengambil alih Utusan Melayu dengan membeli sebahagian besar dari saham Utusan yang dipegang oleh seorang rakyat Singapura dan sebahagian lagi masih di pegang oleh Yusuf Ishak.

Yusuf terpaksa menyerah kalah dan seluruh para pekerja Utusan Melayu dengan diketaui oleh wartawan-wartawannnya telah membantah pengambilan alih ini dengan melancarkan  mogok seluruh pekerja Utusan Melayu pada tahun 1961 atas alasan mempertahankan kebebasan akhbar.

Saya berada dalam dua era Utuan Melayu  iaitu sebelum mogok dan sesudah mogok yang dapat merasa dan menyaksikan perubahan besar sejarahnya.

Dakwaan bahawa mogok  Utusan   untuk mempertahankan kebebasan akhbar  adalah tidak benar sama sekali. Ia lebih kepada kebebasan  memperjuangkan  Melayu Raya yang didalangkan dan  dibiayai oleh Indonesia. Jika gagasan  ini diterima rakyat maka Malaya sekarang berada dalam kemiskinan sebagai tanah jajahan Indonesia. Kerana kegagalan dasar ini  maka Indonesia melancarkan konfrantasi terhadap penubuhan Malaysia yang melumpuhkan cita-cita empayar Soekarno.

Kerajaan terpaksa bertindak  tegas mematahkan mogok  Utusan Melayu yang diketuai oleh pengarangnya  Said Zahari rakyat Singapura yang ditahan oleh Lee Kuan Yew setelah kembali ke Indonesia  selepas mogok kerana kegiatannya dalam Parti Rakyat  Singapura  menyokong Indonesia.

Sebelum mogok edaran  akhbar Utusan Melayu telah merosot  dari lebih  40,000  kepada hanya kira-kira  20,000  kerana rakyat tidak senang dengan dasarnya anti kerajaan. Keadaan kewangannnya semakin genting sehingga tidak dapat membayar gaji pegawai dan kakitangan mengikut jadual.Pembayaran gaji tertangguh dan lewat seperti yang berlaku dalam Utusan Melayu sekarang.

Bagaimanapun selepas mogok dan penyusunan semula  jabatan pengarangnya yang beralih kepada   dasar  menyokog UMNO dan  kerajaan, pengedaran Utusan telah melonjak dengan pantas kepada lebih 50,000 sehari dan mencapai kemajuan pesat dengan  mempelbagaikan penerbitan dan pernigaannnya.

Kejayaan ini kerana Utusan Melayu  cepat menyesuaikan diri dengan cita rasa semasa pembacanya yang  menolak dasar anti kaum modal, sosialisme dan perjuangan Melayu Raya Indonesia.

Krisis kewangan Utusan Melayu sekarang adalah dalam keadaan yang  sama dengan sikap Wartawan-wartawan  kiri Utusan Melayu  sebelum mogok yang tidak prihatin terhadap perubahan  perasaan rakyat di akar umbi. Bezanya ialah yang pertama semata-mata kerana ideologi  dan yang kedua  berada dalam keimanan  cash is king yang akan menjamin  mereka ke syurga.

Walaupun Utusan diketahui sebagai sebuah akhbar pro UMNO dan pro kerajaan sejak sebelum era Datuk seri Najib dan setelah diambilalih oleh UMNO  tetapi tidaklah sampai kepada memulaukan terus suara parti pembangkang sehingga sampai keperingkat para pembaca membuat kesimpulan telah  mengetahui isinya tanpa membacanya. Utusan tidak menghiraukan akhbarnya tak laku sebagai tanda orang menolak Najib dan UMNO.

Apabila Kerajaan UMNO jatuh dan berganti dengan kerajaan Pakatan Harapan,  Utusan terus tidak mengambil kesempatan untuk memulihkan jualannya dengan membetulkan imejnya kecuali sehari dua tetapi kemudian kembali kepada kepercayaan cash is king dan Najib Raja Wang  akan kembali berkuasa dengan segera.

Ini berbanding dengan akhbar-akhbar  lain yang segera membuat perubahan dengan mementingkan cita rasa rakyat dan perniagaan  dengan mengutamakan journalisme mengikut cita rasa rakyat Malaysia Baru.

Utusan terus berada dalam mimpi walaupun dihadapannya adalah api.Masa depannya tidak pasti,akan  tebakar atau suaranya akan terus sepi.Para wartawannya tidak pasti apakah Pengarah Urusannya yang baru Datuk Aziz Sheikh Fadhil  mewakili Presiden Parti atau mewakili UMNO atau mewakili kepentingan dirinya sendiri.

 Dalam membicarakan buku saya tentang sejarah 70 tahun Utusan Melayu Di Depan Api di Belakang Duri di majlis penyerahan buku-buku koleksi  saya   kepada Universiti Islam Malaysia di Cyeberjaya baru-baru ini saya  sendiri tidak faham mengapa saya tiba-tiba sebak ketika membaca sajak Usman Awang Didepan Api di Belakang Duri ketika mengakhiri pembicaraan buku yang megambil tajuk dari sajak itu bila tiba di perenggan :

Kawan-kawan ku yang dikasihi
di Belakang duri di depan api
Kita tidak bisa berundur lagi
Tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
di mana air mata tidak akan menitik tumpah
Sebab kebulatan ikrar tak akan berubah
Apa sahaja kita tidak menyerah.


Buku-buku karya Zam turut dipamerkan 




Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :