KUALA LUMPUR: Kertas cadangan pembangunan projek Bandar Malaysia akan diterima sehingga 30 Jun 2017, manakala keputusan akhir berkenaan pemaju induk akan dibuat pada 14 Julai, kata Pengerusi TRX City Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd yang baru dilantik, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdulllah.
Beliau berkata, TRX City akan melaksanakan proses permintaan untuk cadangan (RFP), menjemput penyataan minat bagi peranan pemaju induk Bandar Malaysia, dengan pemilikan tapak itu kekal 100 peratus oleh Kementerian Kewangan.
"Proses RFP, yang akan mula dilaksanakan segera, akan membabitkan kriteria ketat dan pihak yang berminat perlu mempunyai pengalaman berkaitan, bukti rekod prestasi, kemampuan melaksanakan projek, rekaan kandungan dan kemampuan kewangan untuk menyiapkan projek besar ini.
"Semua pihak yang berminat dipelawa menyertai proses ini jika mereka berupaya memenuhi kriteria terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Irwan berkata, keputusan akhir akan dibuat oleh TRX City menerusi perbincangan dengan Kementerian Kewangan. Beliau berkata, Bandar Malaysia yang berada di lokasi strategik utama ibu negara, akan menjadi bandar berkelas dunia dalam bandar raya.
Ia juga akan berperanan sebagai pemangkin untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan pekerjaan, termasuk KL Internet City baharu - hab penting bagi Zon Perdagangan Bebas Digital, dan pembangunan ikonik untuk memacu pelancongan, katanya.
"Bandar Malaysia juga akan menjadi nukleus pengangkutan Malaysia, menghubungkan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, laluan Transit Aliran Massa (MRT), KTM Komuter, Airport Express Rail Link dan 12 lebuh raya," katanya.
Sementara itu, mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi TRX City dan Bandar Malaysia, Mohd Irwan berkata, beliau komited untuk melaksanakan pembangunan mampan dan menarik yang akan mengubah landskap ibu negara dan memberi manfaat sebaik mungkin kepada rakyat dan negara.
"Saya berbesar hati diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi TRX City dan Bandar Malaysia, untuk memaksimumkan nilai kepada kerjaan dan pembayar cukai, dan menjana pendapatan daripada baki aset hartanah 1MDB," katanya. - BERNAMA