7 Ditahan Cuba Seludup Racun Ke Negara Jiran


KUCHING; Seramai tujuh warga Indonesia ditahan kerana cuba menyeludup keluar barangan bernilai RM9,900 ke sempadan melalui lorong tikus ke negara jiran kelmarin.

Pegawai Memerintah Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja (4KAD) Leftenan Kolonel Mohd Nizam Masri berkata, rampasan tersebut dibuat sekitar jam 3 petang Rabu lalu oleh sepasukan anggota tentera 4 KAD semasa rondaan berjalan kaki di Sektor Tebedu.

Menurutnya, pihaknya menahan tujuh lelaki berkenaan berserta barangan seludup yang datang dari arah arah Malaysia sedang melalui lorong tikus berhampiran Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tebedu untuk dibawa ke negara mereka.

“Hasil pemeriksaan lanjut, enam daripada suspek yang ditahan memiliki Pas Lintas Barat manakala seorang lagi tidak memiliki pas serta dokumen yang sah.

“Mereka juga turut dikatakan mengambil upah untuk mengangkat barangan tersebut iaitu racun rumput sebanyak 240 liter dalam 30 bekas isipadu 4 liter dan enam tong isipadu 20 liter.” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini semalam.

Sehingga berita ini ditulis kesemua suspek ditahan telah dibawa ke Balai Polis tebedu untuk tindakan lanjut.-Sarawakiana

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :