ADUN DAP Gagal Penuhi Syarat Talentcorp


KUALA LUMPUR: Bekas ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak, Dr Ting Tiong Choon (DAP-Pujut), gagal memenuhi syarat yang ditetapkan Jawatankuasa Program Kepulangan Pakar (REP), Talent Corporation Malaysia (TalentCorp).

Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad, Shareen Shariza Abdul Ghani, berkata berdasarkan rekod, Ting tidak pulang di bawah program REP dan tidak menerima insentif REP berdasarkan beberapa perkara yang ditetapkan.

Katanya, walaupun Ting ada membuat permohonan di bawah REP pada Mei 2014 dan diberi kelulusan bersyarat pada September 2014, dia gagal untuk menyerahkan Surat Akuan Tarikh Kembali (SATK) untuk membuktikan bahawa telah kembali ke Malaysia dan mendapat pekerjaan.

"Ting juga telah gagal untuk memenuhi syarat lain yang ditetapkan Jawatankuasa REP. Berdasarkan kelulusan bersyarat yang ditetapkan, Ting seharusnya menyediakan surat pelantikan jawatan sebagai pegawai perubatan di kawasan luar bandar serta mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Selepas permohonan calon diluluskan, semua pemohon REP diberi tempoh sehingga dua tahun untuk kembali dan memperoleh pekerjaan di Malaysia sebelum mengemukakan SATK kepada TalentCorp bagi mendapat manfaat di bawah program REP.

"Ketika membuat permohonan untuk program REP, Ting memegang pasport Malaysia yang sah dan ini melayakkannya untuk membuat permohonan dengan syarat Ting perlu menyertakan bukti menunjukkan bahawa dia masih warga negara Malaysia selain perlu memenuhi kriteria yang ketat seperti kelayakan akademik, pengalaman kerja dan tempoh perkhidmatan di luar negara," katanya dalam satu kenyataan media.

Ting sebelum ini mendakwa melepaskan kerakyatan Australia selepas dirinya direkrut oleh TalentCorp untuk kembali ke Malaysia.

Ting dilucutkan keanggotaan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak selepas didapati memegang kewarganegaraan Australia pada 12 Mei lalu.

Ia bercanggah dengan Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak-hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai seorang ADUN. - BHOnline

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :