KUALA LUMPUR: Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) yang kini aktif mempromosi dan meningkatkan kesedaran penulisan wasiat dalam kalangan rakyat negara ini, yakin mencatatkan sejuta pelanggan bagi perkhidmatan penulisan wasiatnya tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Adenan Md Yusof, berkata setakat April 2017, pihaknya mempunyai sejumlah 974,595 pelanggan yang melanggan perkhidmatan penulisan wasiat.
Beliau berkata, keyakinan mencapai sasaran itu bersandarkan kepada kempen promosi dan program meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan wasiat yang dilaksanakannya tahun ini.
"Bermula 1 Jun hingga 31 Julai 2017, kami akan melaksanakan Kempen Wasiat Aidil Fitri untuk penulisan wasiat yang mana kami menawarkan diskaun 50 peratus bagi harga penulisan wasiat asas dan komprehensif.
"Harga promosi untuk kedua-dua penulisan wasiat itu ialah RM300 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berbanding harga asal RM530 bagi perkhidmatan penulisan wasiat asas dan RM636 bagi penulisan wasiat komprehensif ," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Adenan berkata, AmanahRaya juga akan menawarkan ganjaran tunai RM25,000 kepada pelanggan penulisan wasiat yang ke 1,000,000.
Katanya, Kempen Promosi Aidil Fitri itu adalah terbuka kepada semua rakyat di negara ini tanpa mengira agama.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencatatkan 5,000 penulisan wasiat sempena berlangsungnya kempen dua bulan itu.
"Pada tahun lalu, kami mengadakan kempen promosi Tahun Baharu Cina yang mana kami berjaya menarik 2,500 penulisan wasiat.
"Bagi tahun ini, kami mengadakan Kempen Wasiat Aidil Fitri dengan sasaran untuk mencatatkan 5,000 pelanggan bagi penulisan wasiat," katanya.
Menyentuh mengenai tahap kesedaran orang ramai di negara ini mengenai perkhidmatan seperti penulisan wasiat, amanah dan pentadbiran pusaka, Adenan berkata, secara keseluruhannya tahap kesedaran masih rendah.
Katanya, penulisan wasiat penting bagi memastikan kesinambungan pewarisan harta dan mengelakkan harta yang tidak dituntut. Beliau berkata, tanpa wasiat, proses untuk mendapatkan surat kuasa bagi mentadbir harta akan mengambil masa yang lama.
"AmanahRaya hanya mengambil masa tiga bulan untuk menyelesaikan proses wasiat jika dokumen lengkap dan tidak ada yuran tersembunyi dikenakan," katanya.
INFO Orang ramai yang ingin mendapatkan harga promosi Kempen Wasiat Aidil Fitri di mana-mana kaunter bergerak atau cawangan AmanahRaya di seluruh negara AmanahRaya juga menyediakan khidmat nasihat profesional secara percuma AmanahRaya menawarkan perkhidmatan wasiat secara menyeluruh dan meliputi penulisan, penyimpanan dan pelaksanaan - BHOnline