PUTRAJAYA: Dakwaan kononnya projek Bandar Malaysia di bekas Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di ibu negara dikuasai oleh syarikat China kini bukan lagi isu.
Sebaliknya tapak strategik seluas 486 ekar itu dikuasai 100 peratus oleh Kementerian Kewangan, berikutan terbatal perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia dengan pihak pemegang saham projek tersebut sebelumnya.
Ia melibatkan Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn. Bhd. (CREC), membabitkan sebanyak 60 peratus modal terbitan dan berbayar dalam Bandar Malaysia Sdn. Bhd.
Media melaporkan ia kerana kegagalan pihak berkenaan untuk menunaikan tanggungjawab pembayaran seperti mana termaktub dalam syarat SSA yang ditandatangani pada 31 Disember 2015 biarpun lanjutan tempoh diberikan.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan pada petang Rabu oleh TRX City Sdn. Bhd. yang mana Kementerian Kewangan sendiri adalah pemegang tunggal kepentingan dalam projek perbandaran mega tersebut.
Susulan itu, kata TRX City, dengan mengambil kira kepentingan nilai tanah Bandar Malaysia, ia akan mengekalkan pemilikan penuh terhadap kawasan itu demi memastikan rakyat Malaysia meraih manfaat hasil pembangunannya.
TRX City juga dalam kenyataan itu memberitahu, dalam masa terdekat ini akan mempelawa pihak yang berminat sebagai pemaju induk Bandar Malaysia dengan pemilikan 100 peratus dikekalkan pada Kementerian Kewangan.
“Proses pemilihan tersebut akan melibatkan kriteria yang ketat termasuk rekod pencapaian atau prestasi syarikat, kadar tempoh pelaksanaan dan kemampuan kewangan bagi projek pembangunan hartanah berskala besar itu.
“Ini penting bagi mempertingkatkan lagi semua aspek dalam pembangunan Bandar Malaysia termasuk peranannya sebagai hab perniagaan, pengangkutan, penempatan dan pelancongan.
“Langkah yang diambil hari ini bertujuan memastikan tidak wujud sebarang masalah jangka panjang dalam pembangunan Bandar Malaysia dan apabila siap kelak, ia dapat menepati (peranan) sebagai kepentingan negara pada tahap lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.
Malah, Bandar Malaysia juga akan berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
“Bersandarkan faktor kelebihannya sebagai tapak pembangunan terbesar di Malaysia dan di kedudukan strategik, ia akan menawarkan banyak peluang perniagaan, pelaburan dan pekerjaan termasuk Bandar Internet Kuala Lumpur yang menjadi hab Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ),” kata kenyataan itu.
Bandar Malaysia juga akan muncul sebagai nukleus pengangkutan Malaysia dengan menghubungkan perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, laluan Transit Aliran Massa (MRT), Komuter KTM, Express Rail Link (ERL) dan 12 lebuh raya.
Ekoran perjanjian usahasama bernilai RM7.41 billion dengan syarikat dari China itu pihak pembangkang dan sewaktu dengannya telah sebar sentimen kononnya kerajaan sudah ‘ jual’ aset penting negara kepada pihak China.-mynewshub