Beg Tangan Berharga RM1.6 Juta



HONG KONG – Tas tangan Hermes kulit buaya bertatahkan berlian dan dihias dengan emas putih mencipta rekod baru sebagai beg tangan paling mahal dijual dalam sesi bidaan apabila dibeli dengan harga hampir AS$380,000 (RM1.6 juta) di Hong Kong.

Beg Himalaya Niloticus Crocodile Diamond Birkin 30 yang unik itu dibeli pembida berkenaan melalui telefon dengan harga HK$2.94 juta (RM1.6juta) selepas sesi lelong yang sengit, kata jurucakap syarikat lelongan Christie’s kepada AFP.

Harga itu memecahkan rekod sebelum ini yang turut dicatatkan di Hong Kong, juga untuk beg keluaran Hermes yang dijual dengan harga HK$2.32 juta (RM1.3 juta).

Hanya satu atau dua Diamond Himalaya dihasilkan di seluruh dunia setiap tahun, menjadikannya antara yang paling jarang dikeluarkan, kata Christie’s.

Ketua bahagian beg tangan dan aksesori antarabangsa Christie’s, Matthew Rubinger berkata: “Ada desas-desus mengatakan Himalaya akan dihentikan tahun ini, dan mungkin disebabkan itu nilainya begitu tinggi musim ini.”

Beg tangan berjenama semakin dianggap peluang pelaburan dan digemari pengumpul menyebabkan ia di buru di firma bidaan seluruh dunia selain melonjakkan harga jualan.

Beg buatan tangan itu – yang digambarkan Christie’s sebagai ‘beg paling didambakan’ – bertatahkan berlian manakala kancing dan mangga kecil yang menjadi lambang Hermes dibuat daripada emas putih 18 karat.

Beg itu dibuat pada 2014 dan dari siri ‘Birkin’ Hermes yang dinamakan sempena pelakon serta penyanyi, Jane Birkin yang dilahirkan di Britain tetapi kini menetap di Perancis. – AFP/myMetro Online

Subscribe to receive free email updates: