Beijing Lupus 180,000 Kereta Lama


BEIJING: Pihak berkuasa Beijing melupuskan 180,000 kenderaan uzur dan mencemari jalan raya bandar itu dalam tempoh empat bulan pertama, tahun ini.

Biro Alam Sekitar ibu negara China itu berkata, ia adalah sebahagian usaha mengurangkan kesesakan dan masalah jerebu teruk.

Pada 2015, satu pelan tindakan diterbitkan yang menyasarkan satu juta kenderaan uzur dilupuskan antara 2013 hingga 2017.

Berikutan itu, Beijing perlu menghapuskan 300,000 kenderaan sepanjang tahun ini bagi mencapai sasaran itu.

Semalam, Biro Perlindungan Alam Sekitar Majlis Perbandaran Beijing berkata, sebanyak 5.7 juta kenderaan memenuhi bandar raya itu.

Justeru, ia adalah penyumbang terbesar pelepasan asap nitrogen dioksida, yang menjadi faktor utama berlakunya jerebu.

Awal tahun ini, Menteri Alam Sekitar, Chen Jining, berkata 31 peratus daripada kandungan partikel pencemaran dalam udara (TPM) disumbangkan oleh kenderaan.

Sehubungan itu, beliau berikrar untuk melaksanakan langkah luar biasa itu tahun ini, bagi mencapai sasaran ditetapkan bagi tempoh 2013 hingga 2017, susulan masalah jerebu teruk yang melanda bandar raya itu dalam dua bulan pertama tahun ini.

Purata bacaan partikel kecil udara yang dikenali sebagai PM2.5 mencapai tahap 95 mikrogram setiap meter kubik di Beijing, dalam tempoh dua bulan pertama 2017, naik 69.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mencadangkan kepekatan hanya 10 mikrogram.

Beijing menyasarkan untuk menurunkan purata pencemar udara terbabit kepada 60 mikrogram tahun ini, iaitu pengurangan lebih 25 peratus berbanding 2012. - Reuters

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :