BEAUFORT: Timbalan Perdana Menteri yakin Barisan Nasional (BN) mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut di Sarawak daripada pembangkang jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini susulan sokongan padu rakyat Sarawak terhadap BN seperti dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.
Katanya, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan rakyat Sarawak, termasuk beliau sendiri yang sering turun padang mendengar kehendak rakyat negeri itu.
"Pada PRN Sarawak lalu, kita menang 72 daripada 82 kerusi DUN... di Pujut akan berlaku PRK, Insya-Allah kita tambah jadi 73 kerusi," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Begandang Beaufort di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun.
Jumaat lalu, sidang DUN Sarawak sebulat suara bersetuju melucutkan keanggotaan ADUN Pujut dari DAP, Dr Ting Tiong Choon selepas beliau didakwa turut memegang kewarganegaraan Australia.
Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, mengumumkan keputusan itu selepas undian kepada usul terbabit dijalankan dalam kalangan ADUN, menyaksikan 70 menyokong manakala 10 menentangnya. Susulan keputusan itu, PRK dijangka diadakan di kawasan berkenaan. - BHOnline