Cerai politik PAS-PKR tambah drama

Episod perceraian politik ini dijangka berpanjangan dengan PAS pastinya akan menuntut semula kerusi yang dipinjamkan kepada PKR seperti di Gombak untuk diduduki semula.
pas_pkr_600
KUALA LUMPUR: ‘Perceraian politik’ PAS dan PKR akan menjadikan gelanggang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan pertandingan yang lebih rancak bagi merebut sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di kalangan semua parti politik, kata penganalisis politik tempatan.
Mereka berpendapat keputusan PAS kelmarin, untuk memutuskan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan PKR yang terjalin sejak pilihan raya umum ke-11 itu, menyemarakkan lagi arena politik negara yang kini dilihat lebih kepada perjuangan mencari rakan kongsi dan rakan dagang ataupun menjadi ‘lone ranger’ sewaktu PRU14 nanti.
Pensyarah dan penganalisis Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata semestinya perceraian politik ini membawa kepada pertandingan 3 atau 4 penjuru dalam merebut sesuatu kawasan dan ini situasi tidak boleh dielak lagi pada pilihan raya umum akan datang.
“Yang totok (penyokong tegar) akan terus berpihak kepada parti masing-masing sama ada Umno, PAS atau PKR. Dalam kajian kita, kebiasannya, gabungan yang terkuat akan berpeluang tinggi untuk memenangi pertandingan ini seperti Barisan Nasional (BN).
“Namun jangan dilupakan, kawasan kubu kuat PAS pasti akan terus padu kerana tidak perlu lagi menjaga hati rakan sepermainan seperti sebelum ini dalam isu meletakkan calon atau kawasan yang ingin ditandingi mereka. Itulah permainan politik sekarang,” katanya kepada Bernama.
Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara mengambil keputusan menamatkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta dan keputusan itu dibuat sebagai merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara PAS dan PKR yang terjalin sejak sekian lama.
Keputusan itu sememangnya dijangkakan selepas Muktamar PAS yang berlangsung baru-baru ini di Alor Setar, Kedah meluluskan usul sebulat suara supaya kerjasama politik antara kedua-dua parti itu ditamatkan berikutan PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.
Mohd Fuad menarik perhatian, PAS yang terkenal dengan jentera kerja keras itu tidak ada masalah untuk bergerak sendiri tanpa sokongan parti lain kerana matlamat mereka adalah untuk memperjuangkan Islam dan bukannya agenda peribadi pakatan.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :