Keputusan Majlis Syura Ulamak Pas menamatkan hubungan politik dengan PKR disifatkan sebagai tindakan yang salah dan langkah ke belakang dari sudut perjuangan besar melawan kerajaan rasuah.
Bekas Senator Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, jika Pas benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat, parti itu seharusnya mementingkan agenda melawan rasuah kerana ia memberi kesan besar kepada kemelut dan keperitan hidup rakyat hari ini.
"Perkara penting ketika ini adalah melawan sebuah kerajaan yang tahap rasuahnya di peringkat paling parah dalam sejarah negara.
"Keperitan rakyat hari ini jelas kerana pentadbiran Putrajaya dipalit skandal kewangan terbesar yang di sebut secara rasmi dan terbuka seluruh dunia sebagai kleptokrasi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis Syura Ulamak Pas Khamis lalu sebulat suara mengambil keputusan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR secara serta-merta.
Setiausaha majlis itu, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh dilaporkan berkata keputusan itu dibuat susulan tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara kedua-dua parti yang terjalin sejak sekian lama.
Mengulas lanjut, Ezam yang menubuhkan Parti Bebas Rasuah pada Mac lalu juga berkata, Pas sebagai sebuah parti yang berlandaskan perjuangan Islam menunjukkan sikap yang bercanggah dengan perjuangan Islam.
"Maka apabila Pas sebagai parti Melayu yang diharap bangkit menentang parti Melayu yang sudah lari dari perjuangan membela melayu membuat keputusan seperti ini tentulah ia satu keputusan yang salah dari segi maslahah rakyat khususnya maslahah umat Melayu.
Read More / Baca Lagi >>