Saya menganggap tindakan polis yang mengarahkan wartawan Malaysia Dateline, Mohd Arif Atan supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan sebagai satu usaha terbaharu untuk menakut-nakutkan pengamal media dalam negara ini.
Ini bukan kali pertama pengamal media dalam negara ini cuba diganggu bertugas kerana laporan berita yang cenderung berpihak kepada pembangkang dan mendedahkan kebobrokan pentadbiran yang dipimpin Umno-BN.
Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, tiada siapa boleh menentukan kepada siapa wartawan patut berpihak. Saya mendesak pihak berkuasa hormati hak dan pilihan itu.
Dalam suasana yang menghampiri musim pilihan raya, saya juga khuatir jika kumpulan wartawan pula dijadikan sasaran untuk mencegah lebih banyak laporan berita diterbitkan yang mendedahkan kelemahan pentadbiran Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Sepatutnya polis menyiasat pelbagai pendedahan penyelewengan seperti skandal 1MDB yang menjatuhkan imej negara di seluruh dunia tetapi saya juga memahami kesukaran polis untuk bertugas dalam kes-kes seperti ini.
Saya menggesa pihak berkuasa supaya hormat pengamal media. Mereka bukan orang suruhan yang mudah dijinakkan dengan dedak sebaliknya mereka terpaksa berhadapan pelbagai cabaran dan risiko untuk memastikan maklumat yang tepat sampai kepada pengetahuan seluruh rakyat Malaysia.
DR SITI MARIAH MAHMUD
Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja
Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional