Datuk Vida Akur Tarik Balik Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual


Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman akur dengan keputusan Kementerian Kesihatan untuk menarik produknya dari pasaran.

Pengarah Syarikat Vida Beauty Sdn Bhd yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berkata, beliau mengambil tindakan segera dengan menarik produknya sejak 2 bulan lalu.

“Saya terima arahan mereka. Produk ini tidak sempat lagi dipasarkan secara meluas, baru saja, kemudian terus kena (arahan tarik balik). Produk ini sebenarnya produk baru.”

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyenaraikan salah satu produk kosmetik keluaran Vida iaitu Qu Gebu AP Krim bersama 6 produk lain ditarik balik dari pasaran.

Racun berjadual yang dikesan di dalam produk berkenaan adalah merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Menurut Noor Hisham, produk itu mengandungi hydroquinone dan tretinoin iaitu produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Vida bagaimanapun mengakui Qu Gebu AP Krim hanya dijual di farmasi dan penggunaannya perlu mendapat kebenaran pengamal perubatan bertauliah.

“Kena kawal, bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya. Bimbang ada yang keliru atau salah guna. Sebab itu, ia ada dalam akta kawalan dadah dan kosmetik,” katanya.

Ini bukanlah kali pertama produk kosmetik Vida ditarik balik. Januari tahun lalu, 2 produk kosmetik jenama Qu Puteh ditarik balik selepas Kementerian Kesihatan negara ini dan Brunei mendapati ia mengandungi merkuri. – Fmt

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :