Di dalam keriuhan perkembangan berkaitan rakan strategik asing (FSP) beberapa hari ini, ada satu lagi sayap di dalam Proton yang dinanti-nantikan perkembangannya; iaitu bahagian Race, Rally, Reaserch atau singkatannya R3. Ia turut menjadi bahagian penting dari aspek penjenamaan Proton selama ini.
Namun, dari sumber-sumber yang dipercayai, kami dimaklumkan bahawa sayap R3 akan memberhentikan operasinya bermula 1 Jun nanti. Dan, keputusan berkenaan bukanlah datang secara mengejut kesan daripada perjanjian FSP Proton-Geely yang diumumkan minggu ini.
Keputusan berkenaan sudah dijangka jauh sebelum itu lagi; kedudukan kewangan Proton yang goyah sejak beberapa tahun ini menjadi antara sebab utama. Sebagai sebuah sayap operasi yang bukan bertujuan untuk meraih pendapatan utama, dan sebaliknya memerlukan dana besar untuk operasinya, sayap R3 sentiasa terdedah kepada langkah penutupan ini – dalam situasi kewangan tak menentu Proton.
Model produksi Proton R3 yang terakhir dikeluarkan ialah bagi Satria Neo R3 yang diperkenalkan pada 2012 dulu. Sebelum itu, tentunya kita belum lupa, adalah pengenalan model Satria Neo R3 Lotus Racing pada 2010.
Bagaimanapun, operasi R3 tidaklah sekadar itu sahaja. Dari lapangan perlumbaan rali, mereka sempat membangunkan beberapa model, termasuk unit Proton Iriz R3 – termasuk juga unit R3 bagi Preve dan Suprima S. Bahkan, sehingga tahun ini, R3 masih menjalankan Program Perlumbaan Pelanggan yang diperkenalkan pada Mac 2016.
Apa jadi dengan staf R3 selepas ini? Kami difahamkan, semua 22 orang individu yang bertugas di sayap berkenaan akan diserap masuk ke bahagian operasi Proton yang lain. Pengesahan lanjut berkaitan perkara ini akan kami bawakan sekiranya ada kenyataan rasmi dari Proton nanti.