KALAU boleh saya meminjam ungkapan bahasa Inggeris dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu bolehlah saya katakan bahawa banyak air telah mengalir di bawah jambatan di muktamar Pas ke-63 baru-baru ini.
|
Muktamar Pas di Kedah 29 April-1Mei lalu |
Banyak perkara dan hal diperkatakan, dibincangkan dan diputuskan dalam persidangan di Kota Sarang Semut berhampiran Alor Setar itu.
Soalnya sekarang, adakah keputusan yang dibuat di muktamar itu muktamad dan pimpinan baru yang dipilih di persidangan itu berbeza daripada yang sebelumnya?
Mungkin tidak kerana ada proses-proses lain yang terpaksa dilalui sebelum ketetapan-ketetapan itu dikuatkuasakan dan kepimpinan baru pula tidaklah homogen dan monolitik.
Pas adalah antara parti politik paling banyak lapisan hierarkinya. Ada Muktamar, ada Majlis Syura, ada Mursyidul Am, Dewan Ulama, barisan kepemimpinan, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan banyak lagi cabang yang tindih menindih dan sokong menyokong.
Di sebalik baju Melayu dan ketayap, jubah dan serban terdapat pelbagai pandangan dan pendekatan yang kadang kalanya umpama langit dengan bumi. Dalam kata lain, Pas adalah parti dalam parti.
Walaupun perwakilan dan pemimpin Pas mempamerkan sikap keras berkaitan kerjasama dengan parti-parti lain namun ia bukanlah sesuatu yang dipahat di atas batu dan tidak boleh diubah.
Masih Ada Unsur Pragmatik
Sekalipun banyak tindak-tanduk, pidato serta retorik Pas sukar didalami dan difahami namun saya yakin Pas tidaklah dangkal atau keras seperti dipamerkan.
Tentunya setelah kebakaran semangat dan tunjuk berani (posturing) di Muktamar reda, kepemimpinan Pas terpaksa berfikir secara lebih rasional mengenai kelangsungan (survival) parti mereka.
Walaupun mereka bercakap besar di khalayak tentang kekuatan Pas, realitinya mereka tahu bahawa Pas lemah apabila bersendirian. Banyak kajian bebas dan analisis mengatakan Pas akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang jika ia bertanding bersendirian.
Kecuali Pas sudah mengambil sikap bunuh diri atau menjadi “suicidal” – tidak mahu hidup lagi – ia terpaksa menimbang semula pendiriannya.
Macam mana benci sekalipun Pas terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) di dalamnya, Pas terpaksa mengakui bahawa kekuatan PH lebih besar daripada kekuatannya.
Bayangkanlah, kalau PH pun mendapati sukar menandingi kekuatan wang dan jentera Umno, bagaimana agaknya Pas yang bersendirian?
Suka atau tidak – kecualilah Pas telah sebulat suara memilih jalan kemusnahan – ia terpaksa memilih untuk berpakat sama ada dengan PH atau Barisan Nasional.
Atau ia boleh cuba menjalin kerjasama bersaingan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bagi mengelak pertandingan pelbagai penjuru.
Walaupun Pas sudah lafaz talak terhadap PKR dan DAP di peringkat pusat, di Selangor ia masih bersekedudukan dengan kedua-dua buah parti itu dalam kerajaan negeri.
Melainkan Pas secara diam-diam telah menjalin hubungan sulit dengan BN dan memperoleh sumber kewangan baru yang besar, ia memerlukan rakan kongsi yang ada kemampuan kewangan dan berpotensi untuk menang.
Bersendirian Pas akan kalah teruk. Perjuangan Islamnya selama ini akan tinggal nama saja. Jadi yang mana lebih baik bagi Pas – berpakat dengan parti-parti PH atau BN?
Jarum Beracun Umno
Pas benci kepada Amanah kerana parti baru itu adalah serpihan Pas. Tapi perwakilan Pas sendiri yang menolak pemimpin-pemimpin yang kini menganggotai Amanah. Pas mahu menjadi parti yang khusus untuk golongan agama.
Read More / Baca Lagi >>