KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah akan mengkaji semula konsep dan pelaksanaan kaedah projek agropolitan.
Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat, Datuk Roland Sagah berkata, ia penting untuk memastikan projek tersebut terus relevan dan berkesan.
"Diperingkat kerajaan negeri, kita komited membangunkan Gunung Sadok Agropolitan menerusi pembangunan di tiga Bahagian termasuk Betong, Sarikei dan Sri Aman merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili.
"Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar akan ditubuhkan untuk pelan jangka masa panjang dan pelaksanaan projek untuk pembangunan Gunung Sadok Agropolitan," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Johnical Rayong (BN-Engkilili) mengenai rancangan kerajaan untuk menjayakan Projek Agropolitan Bukit Sadok khasnyq bagi DUN Engkilili.
Johnical turut bertanya mengenai rancangan kerajaan menjayakan sasaran pencapaian pendatan tinggi khasnya untuk penduduk di luar bandar menjelang tahun 2030.
Menurut Roland, dua jawatankuasa khas turut ditubuhkan untuk merangka, mengkoordinasi dan memantau projek ekonomi luar bandar yang dilaksanakan.
"Dengan penubuhan jawatankuasa ini, dijangka semua program dan projek ekonomi luar bandar dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
"Apa yang pasti kumpulan sasaran akan mendapat manfaat," ujarnya.-Sarawakiana