Eagles Saman Hotel California


MEXICO CITY: Kumpulan rock Amerika Syarikat (AS), Eagles, memfailkan saman terhadap sebuah hotel di Todos Santos, Mexico kerana menggunakan nama Hotel California tanpa kebenaran mereka dan mengaitkannya dengan lagu popular kumpulan itu.

Kumpulan itu mahu pemilik hotel berkenaan berhenti menggunakan nama itu dan menyerahkan semua keuntungan diraih hasil penjualan barangan yang ada kaitan dengan lagu mereka.

Hotel berkenaan memang dinamakan Hotel California ketika mula dibuka tetapi namanya sudah lama ditukar.

Saman yang difailkan di sebuah mahkamah persekutuan di Los Angeles itu mendakwa pasangan dari Kanada, Debbie serta John Stewart cuba mewujudkan imej baru selepas membeli hotel berkenaan pada 2001 dengan menamakannya Hotel California semula.

Saman itu turut memetik ulasan pengunjung hotel yang mempercayai hotel itu diilhamkan daripada lagu berkenaan.

“Pengunjung mengunjungi dan membeli barangan dijual defendan kemudian kembali ke Amerika Syarikat (AS) dengan barangan tiruan berkenaan serta menyebarkan kepada orang lain bahawa mereka melawat Hotel California yang dipopularkan Eagles,” menurut saman itu.

Laman web hotel itu turut menyatakan ‘ramai pengunjung kagum dengan persamaan lirik lagu Hotel California dengan premis ini.’

Menurut saman itu, pelbagai kisah dikaitkan dengan hotel itu termasuk satu yang mendakwa kumpulan Eagles pernah memilikinya.

Kumpulan itu turut mendakwa pemilik Hotel California berkenaan - atau nama lainnya, Hotel Todos Santos - sengaja menggalakkan pengunjung percaya ia ada kaitan dengan mereka untuk melariskan jualan barangan dan sering memainkan lagu kumpulan berkenaan.

Hotel itu asalnya dinamakan Hotel California ketika dibuka pada 1950, tetapi namanya ditukar kepada Hotel Todos Santos. Pemilik baru kemudian menamakannya semula Hotel California untuk tujuan pemasaran.-AFP

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :