HANOI -- Filipina dan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin memulakan latihan ketenteraan tahunan bersama dikenali "Balikatan", lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Jurucakap latihan Celeste Frank Sayson berkata, latihan kali ini mengumpulkan kira-kira 2,800 tentera Filipina dan 2,600 tentera AS. Latihan turut disertai tentera Jepun dan Australia.
Latihan itu memberi tumpuan mengenai operasi kemanusiaan dan tindak balas bencana, aktiviti mencari dan menyelamat di kawasan bandar seperti Nueva Ecija, Aurora, Isabela dan wilayah Samar.
Tahun lepas lebih daripada 10,000 tentera menyertai latihan ketenteraan yang telah dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya.
Selepas Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengambil alih tampuk pemerintahan pada Jun tahun lepas, beliau mengumumkan 2017 adalah tahun terakhir sesi latihan ketenteraan secara bersama diadakan.
Bagaimanapun, pada bulan lepas pihak tentera Filipina mengesahkan latihan akan diteruskan tetapi tanpa menggunakan peralatan yang tertentu.
Setiap tahun kedua-dua negara mengadakan tiga sesi latihan dan Balikatan adalah yang terbesar.
-- BERNAMA