POLIS menyerbu sebuah rumah di Taman Desa Seraya, Jalan Lencong Barat, Alor Setar, petang semalam dan merampas 140 tenggiling hidup disyaki untuk diseludup.
Rumah yang tidak berpenghuni itu disyaki dijadikan tempat penyimpanan haiwan berkenaan sebelum diedarkan ke tempat lain.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima maklumat awam kira-kira 2 petang selepas mendapati ada sesuatu mencurigakan di rumah berkenaan.
Beliau berkata, sepasukan polis termasuk Unit Kereta Peronda (MPV) cuba membuka pintu rumah itu dan turut mendapat bantuan daripada pihak bomba.
"Hasil pemeriksaan kami menemui bakul, penimbang, jaring dan troli yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan menyeludup tenggiling dan semuanya dirampas sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk siasatan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Muhammad Ali Che Aman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 68 (1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 Akta 716.-HMetroOnline