K'jaan boleh lucut kerakyatan Jho Low, kata Zahid

Kerajaan boleh melucutkan kerakyatan tokoh perniagaan berkaitan 1MDB, Jho Low jika beliau didapati juga memiliki pasport Amerika Syarikat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) yang memintanya menyatakan jika Low melakukan kesalahan imigresen dengan memegang dua pasport Amerika Syarikat dengan nama berlainan.
Menurut Azman, kenyataannya itu adalah berdasarkan testimoni perbicraaan kes 1MDB di Singapura.
Zahid berkata, Malaysia tidak mengiktiraf dua kerakyatan dan mereka yang ingin memilih kewarganegaraan lain perlu melepaskan kerakyatan Malaysia.
"Dalam kes Low, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri boleh mengambil tindakan melucutkan kewarganegaraan beliau sekiranya terbukti beliau sememangnya memegang dua pasport Amerika Syarikat dengan nama yang berlainan," kata Zahid.
Menteri Dalam Negeri itu pada Mac lalu memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Low masih seorang rakyat Malaysia kerana kementeriannya tidak menerima sebarang permohonan daripada ahli perniagaan itu untuk melepaskan kewarganegaraannya.
Sarawak Report melaporkan Low mempunyai dua pasport Amerika Syarikat, yang dibenarkan mengikut undang-undang negara itu.
Pada Januari lalu, sebuah mahkamah di Singapura dimaklumkan bahawa Low menggunakan nama "Eric Tan Kim Loong" ketika berurusan dengan pengurus Falcon Private Bank cawangan Singapura, iaitu Jens Sturzeneggar.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :