Demam pilihan raya di Kelantan mulai merebak

Oleh Mohd Sayuti Omar
Minggu lepas saya berada di Kelantan empat hari, bermula 26 hingga 29 April 2017. Jarang saya ke Kelantan mencecah tiga malam. Paling-paling lama pun dua malam. Selepas menemui ibu, merasa masakan, melihatan tanamannya di belakang rumah atau bermanja dengannya serta bertanya khabar waris warah saya akan balik ke Kuala Lumpur bergelumang dengan dunia rutinan saya.

 Saya tidak betah di Kelantan akhir-akhir ini. Semacam sudah hilang keseronakan yang ada selama ini. Kelantan seakan tidak berseri lagi, bau wangi cempaka suntingan Cik Siti Wan Kembang seakan sudah sirna entah ke mana. Terasa juga diri terasing. Keadaan itu menyebabkan berada di negeri itu penuh dengan kesunyian dan keterkilanan.

Pengembalian hari itu, saya memaksa diri untuk berada di Kelantan melebihi 80 jam.  Semasa di Kelantan saya sempat memasuki tujuh kawasan parlimen. Bermula di Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan berakhir di Pasir Puteh.

Perjalanan santai sahaja bersama isteri dan seorang anak lelaki bongsu yang sedang menanti untuk menempuh hidup baharu selepas tamat SPM. Seperti biasa kalau memandu jauh saya suka berhenti beberapa kali untuk makan dan minum. Setiap 100 km saya akan beradu atau lebih kerap kalau ternampak kedai makan atau tempat-tempat menarik untuk dirakam gambar dikongsi dengan rakan media sosial.

Sepanjang perjalanan ke Kelantan keadaan atau panorama yang menyentuh deria lihat sudah tidak ada lagi kerana sudah acap sangat. Alah bisa tegal biasa, kata bidalan orang tua-tua. Sesuatu itu kalau berkali-kali dilalui dan dilihat menyebabkan keindahannya menghilang dan bosan.

Orean menguasai lapangan.
Apa yang menjadi tumpuan kali ini ialah melihat perkembangan politik yang berlaku di Kelantan. Umum tahu penerimaan -- kegilaan orang Kelantan dalam politik berbeza dengan masyarakat negeri lain. Sebab itu Kelantan dianggap jaguh atau pun madrasah politik. Bagi orang Kelantan politik bukan tanggungjawab setiap lima tahun sekali, tetapi ia merupakan suatu budaya yang dihayati sepanjang jam berdetik.

Orang Kelantan macam orang Eropah.

Orang Kelantan tegar dalam politik. Politik bagi mereka persis orang Eropah yang menggilai bolasepak sehingga bola sepak dianggap sebagai satu pemujaan. Demikian bagi orang Kelantan politik menjadi "nasi makan air minum" bagi mereka. Mereka akan bercakap politik di mana-mana sahaja; kedai kopi, kedai gunting, setesen teksi hatta terbawa ke dalam surau-surau atau balaisah juga di tempat-tempat kenduri.

Mereka juga berani dan suka menunjukkan parti mana yang mereka sokong. Bagi saya orang negeri saya tidak, atau kurang hipokrit dalam berpolitik. Mereka tidak main secara sembunyi-sembunyi. Mereka benar-benar jantan dan berterus terang. Walaupun cara itu boleh dianggap melampau, tetapi itulah cara Kelantan. Ini keunikan dan kegedebelannya.

Selain itu orang Kelantan juga mempunyai sikap berani serta mempunyai pemikiran tersendiri. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan keadaan atau pegangan politik orang di negeri lain. Merek payah bergoyang. Jika mereka rasakan perlu bertindak mereka akan bertindak tanpa sepakat dan terikut dengan masyarakat di negeri lain. Sebagai bukti tindakan (kesedaran) untuk menukar kerajaan Kelantan, mereka akan lakukan walaupun negeri lain kekal dengan kerajaan lama. Sebab itu Kelantan menyaksikan negeri yang berlaku pertukaran kerajaan.
Kerana sikap inilah menyebabkan kita mudah untuk melihat arah dan aliran politik semasa di Kelantan. Orang Kelantan tidak reti berdiplomasi dan suka "mengecong". Bila mereka menyokong sesuatu parti mereka nyatakan dengan jelas begitu juga kalau mereka menolaknya. Banyak indikator menjelaskan kedudukan atau sikap itu selain bersembang dengan mereka, ianya dapat dilihat dengan pemasangan bendera parti atau pun pembelian bahan bacaan untuk mengetahui perkembangan politik.Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :