RAKYAT hanya berpeluang menjadi raja dalam pilihan raya. Undinya menjadi kuasa penentu. Baik suka atau tidak, pilihan raya akan datang harus berlaku sebelum Ogos 2018. Untuk menggunakan kuasa sebaik-baiknya, rakyat perlu mempunyai maklumat atau informasi atau info yang tepat
Kini ialah era segala keputusan dibuat berdasarkan info. Ini adalah amalan manusia dan mesin. Telefon pintar kita hanya berfungsi menurut info yang diterima. Panggillah dia Facebook, Twitter, Flipboard dan sebagainya. Jika dulu info datangnya dalam bentuk lurus atau propaganda, kini info bukan saja dipanggil 'disinfo' atau 'a-info' malah dilabelkan dengan panggilan 'fake' atau palsu, ataupun 'diversion' yang bererti 'loklak' menurut pelat daerah. Justeru adalah menjadi tugas rakyat yang mahu menjadi raja memastikan adanya info yang tepat dan betul. Memang untuk mendapatkannya memerlukan usaha, seperti kita berusaha memastikan bukan kaca menjadi intan, atau sebaliknya.
Kini kalau kita mengikuti media biasa (akhbar, majalah, TV, radio dan lain-lain) serta media sosial, kita tidak boleh lari dari info yang pelbagai. Dalam senario rakyat hendak menjadi raja ini, konteksnya ialah politik. Istilah politik mencakupi satu bidang yang luas, dari ekonomi, geografi dan seluruh saujana tamadun.
Maka apabila politik yang menjadi inti dalam pilihan raya, maka yang tercungkil ialah apa yang menjadi isu antara kerajaan dan pembangkang. Bila disebut kerajaan, kita tidak salah menyebut YAB DS Najib Razak, selaku Perdana Menteri Malaysia, dan pemimpin-pemimpin lain di bawahnya, di satu pihak, dan tokoh-tokoh di luar kerajaan, seperti Tun Dr Mahathir Mohamed, Lim Kit Siang, Rafizi Ramli, Dr Azizah, DR Azmin, TS Mahyuddin Yassin dan lain-lain lagi, di pihak lain, sebagai wadah percaturan dalam menghadapi pilihan raya. Sewajarnya kerajaan mahu mengekalkan pemerintahannya; sewajarnya pula pembangkang mahu merampas tampuk kerajaan sebagai pengganti pemerintah yang ada.
Dalam pertentangan itu, rakyat akan menentukan keputusan, tegasnya menjadi hakim. Jika di mahkamah, seorang hakim atau satu grup mereka, selepas meneliti semua sudut maklumat, pro dan kontra, akan membuat keputusan, sama ada yang didakwa bersalah, tidak bersalah - atau dibuang kes saja, kerana kekurangan maklumat. Namun rakyat lebih gagah daripada itu. Rakyat mahu tidak mahu tidak boleh mengundi untuk 'buang kes'. Ini adalah fungsi angka: A yang mendapat 99 undi adalah pemenang apabila B mendapat 98 undi.
Read More / Baca Lagi >>