KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertemu dengan wakil persatuan pengusaha stesen minyak bagi membincangkan isu kerugian dihadapi mereka akibat pelaksanaan penetapan harga bahan api secara mingguan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata beliau menyedari masalah dihadapi pengusaha stesen minyak itu dan akan mengadakan perjumpaan bersama mereka pada minggu depan.
Katanya, perjumpaan melalui persatuan pengusaha itu diadakan bagi mengetahui apakah masalah mereka yang sebenarnya kerana apabila kerajaan mahu melakukan sesuatu, kepentingan rakyat juga perlu diambil kira dan bukan hanya untuk kepentingan mereka semata-mata.
"Kita nak menentukan bahawa pengguna juga menikmati apa yang kerajaan lakukan, maka sudah tentu untuk menentukan bahawa pengguna boleh menikmatinya, kita tidak boleh membiarkan pengusaha ini tertekan dalam keadaan yang tertentu.
"Maka biarlah saya adakan perbincangan dengan mereka terlebih dahulu dan pengguna perlu faham selepas ini bahawa apa yang saya lakukan bukan hanya untuk peniaga dan pengusaha, tapi hendak memastikan kestabilan program itu.
"Maknanya apa saja dasar yang kita lakukan biar ia mapan dan pada masa sama pengguna boleh menikmati segala apa yang kita berikan kepada rakyat dalam negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) ke-24 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Sebelum ini, ada laporan akhbar mengatakan pengusaha stesen minyak mengadu kononnya mereka mengalami kerugian sejak sistem penetapan harga bahan api secara mingguan diperkenalkan bermula akhir Mac lalu.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, beliau mahu penganjuran FIM itu pada tahun depan dibuat pada skala lebih besar dan dijadikan sebagai produk pelancongan negara.
"Kita mahu pameran ini dianjurkan seperti karnival dan membabitkan penyertaan lebih ramai pihak. Ketika ini, hanya 90 reruai yang dibuka dan saya berharap jumlah ini dapat ditingkatkan kepada 300 pada tahun depan," katanya.
FIM 2017 adalah pameran francais terbesar di Asia Tenggara bertujuan mengumpulkan pengiat industri francais dari dalam dan luar negara.
Program selama tiga hari ini disertai 47 syarikat tempatan dan 25 syarikat antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, Thailand, Arab Saudi, China dan Korea Selatan. - BHOnline