Najib Komited Bina Infrastruktur Bertaraf Dunia


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak komited membina infrastruktur bertaraf dunia untuk Malaysia meskipun berdepan kecaman ahli politik pembangkang terhadap kemampuan pentadbirannya. 

Perdana Menteri berkata, infrastruktur berkenaan dengan pemilikan tempatan itu akan dipelihara, dibuka sebagai lokasi pelancongan terbesar negara, menarik lebih banyak ruang perdagangan dan peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus menambah baik taraf hidup serta kemakmuran.

Menceritakan detik pada zaman Laluan Sutera yang menjadi kegemilangan pedagang dan mempunyai kaitan signifikan antara hubungan Malaysia-China, beliau berkata, ketika itu memiliki zon perdagangan yang terbuka kerana masyarakatnya mempunyai minda terbuka dan bijaksana. 

Katanya, prinsip keterbukaan ketika itu adalah demi kepentingan semua negara dan langsung tidak menggadaikan maruah dan martabat sesebuah negara kerana tiada kompromi mengenai soal kedaulatan. 

"Keterbukaan yang sama turut berlaku pada hari ini. Kami mengalu-alukan pelaburan dari semua rakan-rakan kerana Malaysia adalah negara 'penjelajah' yang sentiasa memandang ke luar. 

"Kepelbagaian, kesederhanaan dan toleransi adalah aspek yang menjadi kebanggaan kami. Ia mendorong negara ini untuk sentiasa menjalankan perdagangan serta pelaburan di seluruh negara termasuk China," katanya dalam catatan di blog www.najibrazak.com hari ini. 

Nukilan sempena lawatan kerja Najib selama lima hari di China turut disiarkan menerusi artikel dalam sebuah portal negara itu; South China Morning Post. 

 Mengulas mengenai lawatan singkatnya pada Mac lalu, Najib berkata, pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital yang pertama di dunia oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma, adalah pemangkin kepada e-dagang dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. 

 Katanya, ia sekali gus akan menjadi hab utama bagi syarikat berasaskan internet global serta tempatan dengan menyasarkan Asia Tenggara sebagai pasaran. 

 Selain itu, Najib berkata, persetujuan untuk membeli kapal misi pesisir dari China turut menguntungkan Malaysia apabila ia menyediakan peluang pekerjaan di kedua-dua negara. Katanya, dua kapal pertama sedang dibina di negara berkenaan. 

Selain membantu melindungi dan meningkatkan keselamatan rakyat Malaysia, ia juga memberi pengetahuan kepada negara ini. 

"Ini adalah contoh 'menang-menang' menerusi kerjasama antara Malaysia-China. Inisiatif 'Belt and Road' harus terus berkembang dan kita semua perlu mengalu-alukan usaha ini dengan mengambil bahagian untuk kecapi kejayaan. 

"Ini adalah Abad Asia. Jadi... marilah kita pastikan rantau ini terus bangkit dengan mengambil tempat yang lebih besar di pentas dunia kerana model ini akan memastikan setiap daripada kita (negara Asia) tidak ketinggalan tanpa mengabaikan negara di rantau lain. 

"Saya yakin inisiatif Presiden Xi menerusi forum "Belt and Road" akan membuktikan untuk menjadi satu langkah penting ke arah pembinaan laluan perdagangan baharu sekali gus mengukuhkan kemakmuran manusia sejagat tanpa perselisihan, peperangan serta permusuhan," katanya. - BH)nline

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :