Umpama perjalanan rombongan membawa anak teruna (pengantin) menuju ke pelamin untuk dipersandingkan, semakin lama ia semakin dekat menghampiri pelamin yang dibina bersebelahan kamar tidur. Pembawa bunga manggar dan penjunjung pulut kuning dan segala macam barangan (mahal hantaran) atas "par" juga bersemangat mengiringi perjalanan pengantin.
Mustapa dibuang ke laut. |
Tuan Ibrahim bersedih? |
Begitulah anologi boleh dibuat terhadap parti agama (Pas), yang sudah dibayangkan akan bernikah dengan Umno; kedua pengantin kini sedang menanti saat manis penuh bahagia itu. Si pengantin perempuan sudah lama menanti "gelenyer geledik" di pelamin, manakala pengantin lelaki segak bergaya sedang menuju menghampirinya.
Sekejap sahaja lagi akan berlangsung upacara pembatalan air sembahyang diikuti dengan
merenjis air mawar dan makan beradat. Lagu Selamat Pengantin Baru nyanyian biduwanita Saloma sudah lama dikemundangkan.
Pengumuman pelantikan pegawai eksekutif (kabinet) parti dibuat hari ini yang menyaksikan perubahan tidak disangka-sangka itu bolehlah dianggap sebagai penyempurnaan segala kerja yang dirancang selama ini. Perkembangan ini -- pembentukan eksekutif itu menyebabkan sesiapa yang tahu kilasan ikan di air dapat meneka jantan atau betina, tidak dapat menafikan yang Pas akan bersanding dengan Umno.
Dua tahun lepas Pas telah membuang 18 orang hulubangnya dalam muktamarnya di Kuala Selangor. Mereka itu boleh dianggap sebagai adik abang yang menentang percintaan haram Pas dengan Umno. Kerana penentangan itu maka mereka dibuang atau dihalau dari rumah Pas menerusi muktamar. Dengan pemergian para penentang itu ia menyenangkan kerja-kerja untuk mempersandingkan Pas dengan Umno.
Dan pembentukan kabinet Pas hari ini sesungguhnya mengemaskan lagi "pintu pagar" rumah pengantin itu agar tidak dicerobohi oleh mereka yang tidak mahu lihat perkahwinan itu berlaku. Mereka yang dicurigai akan kesetiaan kepada Pas menjadi penghalang semuanya diketepikan, dan ada yang diikat tangan dan kaki serta disumbat mulut dan disandarkan di jerung dinding. Penentangan semuanya kena dibuang.
Mereka yang tidak menunjukkan restu perkahwinan itu adalah Mustapa Ali, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas. Semasa dalam muktamr baru lalu ketika menyampaikan ucapan penggulung, beliau membayangkan akan ketidak-setujuannya dengan perkahwinan Pas - Umno dengan memberi sedikit ingatan dan nasihat penuh ikhlas. Antara lain katanya parti yang berpecah biasanya akan lemah dan kalah pilihan raya.
Dipercayai beliau merujuk kepada perpecahan Pas sehingga tertubuh Amanah dan Pas pula bermusuh sampai sudah dengan Amanah, DAP dan PKR.
Kesan dari keberanian dan anti kerjasama yang beliau pamerkan itu, nah hari ini beliau sudah menerima akibatnya dipenggal daripada menjadi Pengarah JPP dan tempatnya diganti dengan Ahmad Samsuri Mohkhar, yang sebelum ini adalah Setiausaha Politik Presiden Pas. Sesiapa pun yang waras dalam Pas dan sayang kepada Pas, juga yang berada di luar terkejut dengan perubahan berkenaan. Pembuangan dan penggantian penjawat jawatan itu sangat tidak praktikal.
Bagi saya tindakan itu suatu tindakan berani yang terpaksa dibuat. Mustapa adalah satu-satu veteran yang boleh dianggap sebagai Bendahara tua dalam Pas yang penuh pengalaman ditukar dengan Juragan muda yang pengalamannya masih cetek, darah baharu setampok pinang. Samsuri semua orang kenal tidak pernah terlibat dengan sebarang pilihan raya sebelum ini, namun mempunyai peranan dan "kerja besar" dalam Pas.
Apakah dengan pengalaman yang kering itu dia mampu untuk mengendalikan jabatan yang dianggap nadi dalam Pas itu? Itulah kalau tidak ada mengadakan untuk apa beliau dilantik menduduki jabatan itu. Apakah Samsuri sedang mengatur untuk menguruskan pilihan raya nanti bersama rakan dalam Umno? Mereka yang sayang tanpa usul periksa dalam Pas patut menilai dan memikir perubahan ini. Pokok tidak akan bergoayang kalau tidak ada angin.
Read More / Baca Lagi >>