Daripada menjadi penentang keras nasionalisme sempit Melayu, PAS kini memeluk agenda ketuanan Melayu yang bercampur aduk dengan Islam.
Pemikiran yang menyamakan agenda Melayu dengan agenda Islam bukanlah suatu yang baru.
Namun, golongan yang merupakan sebahagian dari gerakan Islam umumnya menunjukkan sikap dingin terhadap ideologi ketuanan Melayu-Islam ini.
Pada 1984, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika itu naib yang dipertua PAS, menegaskan perjuangan nasionalisme berasaskan sentimen kebangsaan yang sempit bercanggah dengan ajaran Islam.
Beliau menyatakan perjuangan kebangsaan yang dipegang Umno sehingga menzalimi orang bukan Melayu adalah perjuangan kebangsaan yang sempit dan ditolak Nabi Muhammad.
Sebaliknya, beliau mengatakan Islam menjamin keadilan untuk semua, termasuk terhadap musuh. Hadi menegaskan PAS berpegang kepada Islam, sedangkan Umno bertunjangkan ideologi kebangsaan.
Namun, ideologi ketuanan Melayu-Islam ini mula mendapat tempat di kalangan kumpulan Islam tertentu. Pada mulanya ia dipelopori NGO Islam tertentu.
Sejak kebelakangan ini, ideologi ini sudah tersemai di jiwa dan pemikiran parti politik berlabelkan Islam. Hujah mempertahankan ideologi ketuanan Melayu-Islam ialah kedudukan Islam akan tergugat jika orang Melayu berpecah. Ini akan membolehkan bukan Islam menjadi dominan dalam Parlimen dan dengan itu menggugat kedudukan Islam.
Untuk menguatkan lagi hujah ini, mereka yang beriman dengan ideologi ini turut memaparkan senario ancaman terhadap Islam. Ini dilakukan dengan menjembalangkan DAP. Kedudukan Islam dipaparkan sebagai diancam oleh DAP.
Jika sebelum ini ada pemimpin negara yang suka menjembalangkan George Soros dan ancaman luar untuk meraih sokongan rakyat, kini pendokong ketuanan Melayu-Islam menggunakan muslihat yang sama dengan menjembalangkan DAP.
Angau PAS mengenai Umno
Natijah daripada haluan ideologi ketuanan Melayu-Islam ialah formula politik yang melihat perlunya PAS bekerjasama dengan Umno.
Selain daripada sikap PAS yang semakin lunak dengan Umno, satu inisiatif untuk mengukuhkan kerjasama ini ialah usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, menerusi rang undang-undang dibawa Hadi, atau RUU 355.
RUU 355 sepatutnya menjadi “showcase” gandingan 2 harimau gagah yang akan membela Islam.
Ramai pemerhati melihat RUU 355 hanyalah muslihat Umno untuk memisahkan PAS daripada Pakatan Harapan. Namun, PAS mula menganggap mereka adalah rakan setara Umno.
Semua pada Umno mula dilihat sebagai indah oleh PAS. Kentut UMNO pun dirasakan wangi. Angau ini menjadi kitaran yang menarik PAS semakin jauh ke dalam lubuk pusar muslihat Umno.
Label “politik matang” digunakan oleh lebai PAS untuk menjadikan muslihat ini kelihatan positif.
Apabila timbalan perdana menteri menyatakan kerajaan sendiri yang akan membentangkan usul RUU 355, ia sudah tentu dilihat sebagai satu kejayaan besar oleh PAS.
Ngauman kedua-dua harimau Melayu-Islam kuat kedengaran di seluruh tanah air. Namun, apabila parti komponen lain Barisan Nasional membantah, Umno akhirnya akur dengan kehendak mereka.
Bila perbincangan menjadi desakan, Umno akhirnya berundur dan meninggalkan PAS keseorangan dengan RUU 355.
Perdana menteri kemudiannya mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355. Rupa-rupanya harimau ketuanan Melayu-Islam ini hanyalah anak kucing. Akhirnya, yang menggagalkan RUU 355 dan menghalang kerajaan daripada membentangkan usul ini dalam Parlimen ialah parti komponen BN, bukan DAP.
Nyata sekali, Umno tidak bersedia mempertahankan RUU 355. Hujah masa depan Islam bergantung pada gandingan PAS dan Umno nyata meleset. Ideologi ketuanan Melayu-Islam tersungkur apabila Umno tunduk pada desakan parti lain dalam BN. PAS ditinggalkan syok sendiri.
Ketuanan Melayu dan 1MDB
Kerapuhan perjuangan ketuanan Melayu-Islam semakin nyata apabila Rafizi Ramli mendedahkan penyaluran wang daripada perdana menteri kepada seorang bekas pemimpin PAS.
Sebenarnya, ia bukanlah kali pertama PAS dituduh mendapat sokongan kewangan melalui sumber berkait dengan 1MDB dan perdana menteri.
Read More / Baca Lagi >>