2. Ungkapan syariah perlu difahami secara holistik yang tentunya tidak merujuk kepada hukuman dan deraan yang terkandung dalam nas wahyu sahaja. Apa saja arahan wahyu termasuk arahan berlaku adil, ihsan, berkasih sayang dan memuliakan manusia juga adalah syariah. Begitu juga larangan bertindak zalim dan menindas manusia lain, termasuk sebahagian daripada syariah. Semua arahan ini terkandung secara jelas dalam al-Quran.
3. Meninjau syariah hanya dalam aspek hukuman saja bercanggah dengan identiti syariah itu sendiri yang disifatkan oleh ALLAH dengan lengkap dan menyeluruh. Aspek hukuman hanyalah salah satu daripada aspek syariah yang ditampilkan dalam beberapa ayat tertentu dan hanya merujuk kepada kesalahan tertentu dalam situasi tertentu dengan syarat dan mekanisme pelaksanaan tertentu. Jika syariah ditinjau dari sudut hukuman saja, syariah akan kelihatan hanya suka menghukum padahal hukuman bukan satu-satunya kaedah menangani persoalan kehidupan manusia dalam ruang lingkup yang luas seluas buana ini.
4. Syariah keseluruhannya adalah keadilan, rahmah, hikmah dan maslahah. Sebarang dakwaan pelaksanaan syariah tetapi tidak mencapai tujuan yg ditetapkan oleh syariah itu sendiri sebenarnya adalah pengabaian terhadap syariah. Syariah apa sekiranya pelaksanaan sesuatu hukum yang didakwa hukuman syariah tetapi pelaksanaan hukuman itu tidak mencapai tujuan yg ditetapkan oleh syariah iaitu keadilan dan maslahah? Syariah mana yang mengajar umat ini berbalah, bersengketa bahkan menerakakan pihak yang mahukan pelaksanaan syariah itu mencapai maksudnya?
5. Maqasid adalah ruh syariah. Mengabaikan maqasid menjadikan syariah lesu, beku, tidak realistik bahkan kelihatan kejam dan ganas. Misalnya, gambarkan jika begitu banyak ayat perintah berperang melawan orang kafir yang terkandung di dalam al-Quran dipraktiskan oleh umat Islam Malaysia pada hari ini, apa akan jadi dengan negara ini? Tercapaikah maslahah dengan amalan syariah tanpa maqasid?
6. Perintah berperang adalah syariah. Jika perintah itu dilaksanakan tanpa mengambil kira tujuan ALLAH mensyariatkan perintah itu, tentulah negara menjadi rosak dan huru-hara. Padahal, syariah datang membawa kebaikan bukan kerosakan, bahkan al-Quran melarang keras sebarang tindakan yang mencetuskan kerosakan sama ada kepada manusia, alam atau makhluk lain. Jadi, pelaksanaan syariah mesti bersendikan maqasid syariah.
Read More / Baca Lagi >>