BINTULU: Kalau sudah ajal, tiada apa pun yang boleh menghalang. Itu yang berlaku pada seorang pemandu lori yang maut selepas terjun daripada kenderaannya ketika terbabas sebelum digilis tayar lori berkenaan, kelmarin.
Pada kejadian jam 3 petang, lori dipandu warga Indonesia yang dikenali sebagai Suminto, 50, gagal dikawal sebelum terjunam ke curam di sebuah kawasan pembinaan dekat Kuala Nyalau.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Bing Kok John berkata, ketika kejadian, mangsa cuba menyelamatkan diri dengan melompat keluar daripada lori dalam keadaan kenderaan berkenaan menjunam.
“Bagaimanapun, mangsa tergolek di depan kenderaannya lalu digilis tayar depan lori berkenaan yang masih bergerak.
“Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya kepada Harian Metro, semalam.-myMetro