Wong Chen mahu Putrajaya tampil menjelaskan sama ada syarikat itu milik kerajaan.
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen yang juga mengetuai biro pelaburan PKR, mahu tahu sama ada Godfrey Group Ltd yang dinamakan oleh seorang pelobi dalam pengisytiharannya kepada Jabatan Kehakiman AS (DoJ), dimiliki kerajaan Malaysia.
Sekiranya ya, Wong Chen berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan siapa meluluskan pembayaran itu, dan sekiranya tidak, beliau perlu menjelaskan mengapa kerajaan membayar kepada pelobi.
“Apa agenda tersembunyi tindakan itu? Apakah faedah yang diterima Godfrey daripada kerajaan persekutuan?” soalnya, sambil menambah beliau berharap wang tersebut bukan bertujuan mempengaruhi Washington dalam tindakan DoJ terhadap 1MDB.
Portal berita AS The Daily Beast melaporkan syarikat The 45 Group milik Healy Baumgardner-Nardone, yang pernah menyertai pasukan kempen Trump, mengisytiharkan menerima RM1.07 juta daripada sebuah syarikat beralamat di Johor Bahru dan juga Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Pengisytiharan itu wajib di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing, di mana sesiapa yang terlibat melobi penjawat awam AS perlu mendedahkan butiran kepada DoJ.
Read More / Baca Lagi >>