SEPANG: Kompleks Mahkamah Sepang, di sini, hari ini, menjadi tumpuan pengamal media dari seluruh negara, buat kali kedua bagi mengikuti perkembangan pertuduhan kes pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Nam.
Seawal jam 6 pagi, pemberita dan jurugambar serta juru video daripada pelbagai negara antaranya Malaysia, Indonesia, Jepun, Taiwan, China dan Singapura sudah mula berkumpul di luar kompleks mahkamah.
Bagaimanapun, kehadiran pengamal media dilihat semakin berkurangan berbanding di awal prosiding kes, kira-kira dua bulan lalu.
Tepat jam 9 pagi, tertuduh warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, tiba dengan diiringi anggota polis dan pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).
Kira-kira lima minit kemudian, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dibawa masuk ke kompleks mahkamah. Kedua-dua tertuduh dilihat memakai jaket kalis peluru sebagai langkah keselamatan.
Pada 1 Mac lalu, Siti Aisyah dan Thi Huong, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), jam 9 pagi, pada 13 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. - BHOnline