LONDON: Seorang penjaga zoo wanita maut semalam selepas diserang seekor harimau yang memasuki kandang ketika dia sedang bekerja dalam kejadian di tenggara England.
Satu kenyataan daripada polis di Cambridgeshire berkata, mereka tiba di tempat kejadian 'kemalangan serius' di Hamerton Zoo Park sekitar jam 11.15 pagi waktu tempatan.
"Seekor harimau memasuki kandang bersama seorang penjaga. Malangnya penjaga zoo wanita itu maut di tempat kejadian.
Insiden itu tidak dianggap mencurigakan," kata polis Cambridgeshire dalam Facebook tanpa memberi butiran lanjut.
Dalam satu kenyataan disiarkan di Facebook, Hamerton Zoo Park berkata, insiden itu 'jelas satu kemalangan ngeri' dan satu 'siasatan penuh sedang dijalankan serta berharap butiran lanjut dapat diumumkan secepat mungkin.'
"Perasaan simpati kami kepada rakan dan keluarga mangsa dalam saat sukar ini," kata zoo.
Zoo berkenaan menambah, tiada haiwan lain melarikan diri dari kandang dan keselamatan awam sentiasa dipastikan.
Menurut laman web zoo, taman seluas 10.11 hektar itu menempatkan harimau Malaya dan Bengal. Zoo ditutup hari ini. -AFP