MELAKSANAKAN PENDIDIKAN PERCUMA BUKANLAH MUSTAHIL DENGAN MENGHAPUSKAN KETIRISAN

Foto Zulimran Nasution Abdullah Omar. Perjuangan Pakatan Harapan dalam isu pendidikan percuma tetap diteruskan dalam membawa arus reformasi pendidikan tinggi dan industri pekerja.
Di Malaysia, hampir 77 peratus pekerja mempunyai tahap kelulusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan juga kebawah. Hal ini disebabkan oleh kekurangan peluang mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari, antaranya disebabkan oleh faktor kekangan kewangan.
Impaknya, majoriti pekerja terpaksa menghabiskan masa dan tenaga untuk bekerja dalam sektor produktiviti rendah, di mana hasil pendapatan yang diperoleh mereka tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup.
Pada masa yang sama, graduan-graduan di universiti tempatan menghadapi keadaan ekonomi semasa di mana lebih kurang 273,000 graduan sedang menganggur.
Lebih teruk lagi, sebahagian mereka memerlukan wang untuk membayar hutang pinjaman pendidikan, antaranya adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pendidikan percuma telah dilaksanakan di sebahagian negara-negara Nordic seperti Denmark dan Finland. Asasnya adalah, pendidikan percuma dapat menghapuskan kitaran ganas kemiskinan, melalui peluang yang diberikan kepada anak muda dari kelompok berpendapatan rendah untuk menempatkan diri dalam kerjaya yang berpendapatan lebih tinggi berbanding keluarga asalnya.
Pendidikan percuma merupakan pelaburan terbaik kerajaan untuk menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan inovatif, seterusnya memberi pulangan hasil lebih tinggi kepada kerajaan dalam bentuk cukai pendapatan.
Malangnya, Kerajaan Barisan Nasional tidak memahami idea ini, bahkan sanggup memotong peruntukan Bajet Kementerian Pengajian Tinggi dengan membiarkan pelbagai program-program yang tidak berfaedah untuk terus memperoleh peruntukan.
Kertas kerja baharu yang disediakan oleh pihak saya menunjukkan bahawa berdasarkan data bilangan pelajar dan kos pengajian semasa, kerajaan hanya memerlukan belanja tambahan sebanyak RM1.77 bilion setahun untuk melaksanakan pendidikan percuma.
Manakala merujuk pada pengumpulan Laporan Ketua Audit Negara dan juga data National Oversight & Whistleblowers (NOW), KPT mempunyai anggaran tahunan ketirisan sebanyak RM1.92 bilion.
Dengan mensifarkan ketirisan, saya percaya Kerajaan Pakatan Harapan mampu menyediakan pendidikan percuma untuk pelajar universiti awam tempatan.
Kajian saya juga mencadangkan bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya menukar pinjaman PTPTN bagi universiti awam sebanyak RM2 bilion setahun terus kepada geran pemberian.
Dengan kadar pembayaran semula peminjam yang terlalu rendah iaitu sekitar 14 peratus, mereformasikan PTPTN adalah perkara penting dalam mengurangkan beban anak muda, seterusnya mewujudkan Malaysia sebagai model negara berkebajikan.
Dengan kajian ini, maka semakin jelas polisi Pendidikan Percuma dapat diadaptasikan apabila Pakatan Harapan memperoleh mandat untuk mentadbir negara pada masa yang akan datang. Selain memperkenalkan polisi ini, Pakatan Harapan juga komited dalam mengkaji status autonomi universiti, kerelevenan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan juga kebolehpasaran graduan.
Perkara-perkara penting sebegini tidak dipedulikan oleh Barisan Nasional yang semakin jelas terarah kepada korupsi, rasuah dan tatakelola buruk.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :